Xavier seru pimpinan, ahli PKR bersatu hadapi kemelut politik

Xavier
Xavier
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar menyeru semua ahli parti menumpukan perhatian untuk bersatu bagi mengelak mengeluarkan kenyataan berbaur spekulasi yang boleh mengaibkan parti sendiri.

Menurutnya, adalah lebih penting untuk semua ahli PKR yang dipilih oleh rakyat bersama-sama kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggembleng tenaga serta usaha bagi memacu negara ke arah ekonomi yang lebih mampan.

“Sejak beberapa hari lalu, beberapa siri kenyataan telah dikeluarkan oleh beberapa ahli parti di mana sebahagian daripada mereka termasuk pimpinan utama PKR.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Kita kesian dekat Azmin, dia tengah tertekan'

28 pemimpin PKR tegur Anwar

“Kenyataan-kenyataan yang berkait dengan video intim yang diedar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menimbulkan banyak tanda tanya dan mengakibatkan perbezaan pendapat yang ketara sehingga keutuhan parti ini nampaknya kian tergugat,” kata Xavier dalam satu kenyataan hari ini.

Xavier turut mengakui situasi politik kotor itu merupakan perkembangan yang agak merisaukannya.

Artikel Berkaitan:

“Melihat isu ini yang kini membelenggu parti merupakan perkembangan yang agak merisaukan bagi saya. Kepada semua ahli parti termasuk pimpinan sekalian, perjalanan kita selama lebih 20 tahun sudah tentu penuh dengan cabaran tersendiri.

“Setelah berjuang di atas semangat reformasi serta menuntut kebebasan pemimpin kita iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini PKR merupakan sebahagian besar kerajaan Persekutuan yang diterajui PH. Kita boleh mendabik dada dengan bangga kerana rakyat telah mengundi 50 ahli parti termasuk saya untuk menjadi sebahagian daripada suara mereka di Dewan Rakyat.

“Janganlah kita lupa bahawa sebahagian besar perjuangan PKR untuk membebaskan pemimpin kita, Anwar daripada tuduhan fitnah diketuai oleh Timbalan Presiden PKR kita iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta rakan-rakan seperjuangan yang lain,” katanya.

Katanya, kedudukan PKR ketika ini tidak akan mungkin menjadi realiti tanpa sumbangan kedua-dua pemimpin tersebut.

“Saya dengan jelas menolak politik jijik (gutter politics) tetapi saya juga menghormati undang-undang yang sedia ada.

“Siasatan mengenai kes tersebut perlu diserahkan kepada budi bicara pihak polis,” katanya.