Isu Pulau Batu Puteh: Saifuddin mohon maaf

Datuk Seri Saifuddin Abdullah - Foto Arkib BERNAMA
Datuk Seri Saifuddin Abdullah - Foto Arkib BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini tampil membuat permohonan maaf berhubung kenyataan dikeluarkan oleh timbalannya sebelum ini yang didapati mengelirukan Dewan Rakyat.

Saifuddin mengakui bahawa, timbalannya, Datuk Marzuki Yahya keliru kepada soalan yang diajukan menyebabkan jawapan diberikan kurang tepat.

"Setelah merujuk timbalan menteri, saya difahamkan beliau mengalami kekeliruan dengan soalan tambahan yang diajukan dan seterusnya berikan jawapan yang kurang tepat bagi soalan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Batu Puteh: Malaysia komited laksana penghakiman ICJ

“Sebagaimana maklum kerajaan telah ambil keputusan untuk tidak teruskan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

"Menyedari kesilapan tersebut saya juga difahamkan perkara ini telah dijelaskan timbalan menteri pada 3 Julai melalui satu wawancara dengan wakil Bernama, apa yang beliau maksudkan adalah untuk Malaysia teruskan pelaksnaan penghakiman ICJ menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) dan bukannya semakan penghakiman ICJ," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, beliau yakin dan percaya tidak ada sebarang niat oleh timbalannya untuk kelirukan dewan berhubung status berkenaan.

"Saya ingin memohon maaf kepada dewan ini dan berharap penjelasan saya pada hari ini dapat betulkan kekeliruan yang timbul semasa sesi jawab lisan 2 Julai lalu,” katanya.

Pada 2 Julai, Marzuki memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan masih komited dalam isu Pulau Batu Puteh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan akan memfailkan semakan kehakiman berhubung status Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di mahkamah antarabangsa.

Namun, sehari selepas itu beliau menjelaskan bahawa kenyataannya berkenaan Pulau Batu Puteh adalah mengenai pelaksanaan penghakiman ICJ, dan bukannya menuntut pulau itu.