Sidang DUN Melaka kecoh kerana #MelakaKotorBoss

Idris bangun menegaskan setiap isu yang dimuat naik di laman Facebook telah dipanjangkan kepada jabatan berkaitan menerusi panggilan telefon, namun tiada jawapan.
A
A

MELAKA TENGAH - Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kecoh lagi selepas Exco Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew menggunakan perkataan 'Melaka Kotor Boss' pada sesi penggulungan perbahasannya tadi.

Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) ketika itu mempertikaikan tindakan Idris Harun (BN-Sungai Udang) yang menggunakan #MelakaKotorBoss setiap kali memuat naik status di laman Facebook miliknya kerana ia boleh memberikan persepsi yang tidak baik kepada kerajaan negeri dan boleh menjejaskan imej Melaka.

"Saya nak tanya ini pembangkang tak buat kerja ke... tak ada aduan langsung tapi bising kat Facebook jangan rosakkan imej Melaka.

"Keluarkan tanda pagar (#) 'Melaka kotor boss' dan perkataan yang digunakan oleh YB Sungai Udang boleh menjejaskan imej serta membawa persepsi buruk rakyat terhadap kepimpinan negeri ketika ini," katanya.

Kok Kiew mempertikaikan tindakan Idris yang menggunakan #MelakaKotorBoss pada setiap kali memuat naik status di Facebook kerana ia boleh memberikan persepsi yang tidak baik kepada kerajaan negeri dan boleh menjejaskan imej Melaka.
Kok Kiew mempertikaikan tindakan Idris yang menggunakan #MelakaKotorBoss pada setiap kali memuat naik status di Facebook kerana ia boleh memberikan persepsi yang tidak baik kepada kerajaan negeri dan boleh menjejaskan imej Melaka.

Beliau berkata, seharusnya wakil rakyat itu bersama-sama berganding bahu menjaga kebersihan Melaka dan membuat aduan terus kepada agensi atau jabatan yang berkenaan dan bukannya mengadu di media sosial.

Idris kemudian bangun dan menegaskan setiap isu yang dimuat naik di laman Facebook telah dipanjangkan kepada jabatan berkaitan menerusi panggilan telefon, namun tiada jawapan.

"Ada semak tak berapa kali saya hubungi ketua jabatan-jabatan, saya mewakili rakyat Sungai Udang akan teruskan cara ini untuk kepentingan mereka.

"YB tak boleh buat macam ni... ini ucapan penggulungan kena baca peraturan Dewan, jadi YB sentuh saya, saya sentuh YB," katanya.

Tindakan Idris menyebabkan beberapa exco lain bangun dan berlaku pertikaman lidah termasuk Norhizam Hassan Baktee (DAP-Pengkalan Batu), Mohd Sofi (Amanah-Durian Tunggal) dan Ginie Lim (DAP-Machap Jaya).

Norhizam yang turut bangun mempertikaikan tindakan Idris yang bangun tanpa mendapat kebenaran Speaker.
Norhizam yang turut bangun mempertikaikan tindakan Idris yang bangun tanpa mendapat kebenaran Speaker.

Antara wakil pembangkang yang bangun mempertahankan Idris termasuk Datuk Amirudin Yusof (BN-Ayer Limau) dan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu).

Kekecohan itu berlaku selama kira-kira empat minit sebelum Speaker, Datuk Omar Jaafar terpaksa menangguhkan persidangan kira-kira beberapa minit sebelum Kok Kiew meneruskan ucapan penggulungan.