Pas tak masuk campur ‘rumah tangga’ PKR

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengambil pendekatan untuk melihat dari luar berhubung konflik dalaman PKR membabitkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau mengambil pendekatan sekadar melihat dari luar berhubung isu ‘rumah tangga’ parti itu tanpa memberi sebarang pandangan peribadi.

“Saya nak komen banyak pun tak boleh, tak eloklah ulas konflik ‘rumah tangga’ orang lain.

“Hal rumah orang, saya tonton dari luar sahajalah, biar masyarakat tafsir sendiri,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Bangunan Wahdah Temasek hasil wakaf rakyat Singapura bernilai RM1.5 juta di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin dan Pengarah Urusan Pusat Kursus Pengajian Al-Quran Wal Qiraat ZAG yang juga wakil pewakaf dari Singapura, Zainab Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kestabilan politik sangat penting untuk negeri dan negara, namun ia boleh diganggu oleh anasir luar mahupun dalaman.

Katanya, perkara yang tidak menyenangkan rakyat boleh menimbulkan rasa kurang yakin sekali gus mengundang krisis yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara.

Semalam, Anwar berkata, Azmin perlu meletakkan jawatan sekiranya video intim yang didakwa mirip dirinya dibuktikan benar.

Artikel Berkaitan:

Ia kemudian mendapat kenyataan balas daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yang memulangkan paku buah keras kepada Anwar supaya melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan pertimbangan kepada mana-mana pemimpin untuk bercuti atau meneruskan tugas selagi belum dibuktikan bersalah.