Bolehkah dedah aurat kepada sepupu yang buta?

A
A
A

BAGI kaum Hawa, sepupu lelaki tergolong sebagai bukan mahram mereka.

Sudah tentu jika bukan mahram, aurat antara kedua-dua mereka perlu dijaga.

Namun, jika sepupu lelaki berkenaan buta, adakah batasan aurat itu sudah tiada kerana faktor buta tadi?

Bolehkah wanita tersebut mendedahkan aurat kepada sepupu lelakinya yang buta?

Dalam hal itu, sepupu bukan mahram kerana Islam membenarkan perkahwinan sesama sepupu.

Oleh itu, segala isu berkaitan aurat dan perhiasan dalaman perlu dipelihara daripada dilihat oleh sepupu yang berlainan jantina.

Ia termasuk pergaulan yang diharamkan syarak seperti berdua-duan, bersentuhan dan sebagainya.

Imam al-Syafie menyatakan bahawa aurat wanita dengan bukan mahram hanyalah muka dan tapak tangan dan inilah pandangan terpilih di dalam Mazhab Syafie.

Artikel Berkaitan:

Bagi sepupu atau bukan mahram yang berlainan jantina, ia tetap dikira aurat.

Ini bermaksud segala batasan aurat wajib dijaga antara sepupu walaupun salah seorang daripada mereka buta.

Ia berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang sahih riwayat al-Tirmizi. Dalam satu peristiwa, Ummu salamah dan Maimunah berada di rumah, tiba-tiba Abdullah bin Ummi Maktum, seorang sahabat yang buta masuk ke dalam rumah, lalu Nabi Muhammad SAW memerintahkan mereka berdua menutup aurat.

Kemudian, Ummu Salamah dan Maimunah menyatakan bahawa Abdullah bin Ummi Maktum itu buta dan tidak dapat melihat. Lalu nabi menyatakan: "Bukankah kamu berdua melihatnya?"

Berdasarkan hadis itu, al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sebahagian ulama berpandangan, diharamkan mendedahkan aurat kepada selain mahram sama ada buta atau celik.

Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis buku.