TH sedia khidmat pelanggan 24 jam di Makkah

Foto sumber internet
A
A

MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyediakan khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu di sini dalam usaha memastikan keselesaan jemaah haji ketika menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu.

Pengarah Operasi Makkah Tabung Haji, Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim berkata, jemaah haji boleh membuat aduan di kaunter khidmat pelanggan Tabung Haji, yang terletak di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Janadriah dan bangunan Land Premium di sini, selain kaunter pusat perkhidmatan di semua maktab penginapan.

“Kita terima aduan di kaunter khidmat pelanggan selain di kaunter pusat perkhidmatan maktab, maka jemaah haji boleh buat aduan dan semua aduan akan dimasukkan ke dalam sistem berkomputer untuk kita pantau penyelesaiannya.

“Kira-kira 200 aduan direkodkan dalam sistem aduan kita sehingga Ahad lepas (14 Julai) yang kebanyakannya berkaitan gelang pengenalan haji,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Janadriah di sini hari ini.

Tabung Haji menyediakan sembilan maktab penginapan melibatkan 13 bangunan di sini dan 30,200 jemaah akan mengerjakan haji tahun ini dibantu 640 petugas.

Ahmad Sohaimi berkata, bagi memudahkan proses mengatasi masalah yang ditimbulkan, aduan itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu ringan, sederhana dan berat.

Aduan ringan melibatkan masalah yang dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari atau kurang seperti jemaah tersasar, kerosakan atau kehilangan lencana jemaah, kehilangan buku rekod rawatan dan gelang pengenalan haji.

Bagi kategori sederhana masalah itu disasar untuk diselesaikan dalam tempoh kurang tiga hari seperti kerosakan lampu, penyaman udara, putus bekalan air, logistik dan sajian, manakala bagi kategori berat seperti kecurian dan kebakaran tempoh penyelesaian akan dinilai berdasarkan masalah diterima.

“Tahun lepas kita menerima lebih 500 aduan melibatkan kehilangan dan kerosakan kad lencana pengenalan jemaah haji, kita tidak mengenakan penalti (untuk kad lencana pengenalan baharu) tetapi diingatkan jemaah supaya menjaganya kerana jemaah haji tidak pegang passport,” katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia