Dua 'beradik' 1100 Factory

Motosikal berprestasi tinggi RSV4 dan Tuono V4 sudah mula jengah pasaran tempatan

A
A
A

PEMINAT motosikal berprestasi tinggi pastinya sudah mula meninjau dua kelahiran model baharu Aprilia di Malaysia iaitu RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory.

DIDI Resources Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar tunggal motosikal jenama Syarikat dari Itali itu telah membawa masuk kedua-dua model berkenaan secara rasmi baru-baru ini.


JENTERA berprestasi tinggi ini terbukti di litar lumba.
JENTERA berprestasi tinggi ini terbukti di litar lumba.

Jika diperhatikan, dua jentera itu berkongsi struktur 'jantung' yang sama iaitu enjin unit empat silinder V 1,077 cc tetapi mempunyai kuasa yang berbeza.

RSV4 nampaknya mempunyai lebih banyak tambah nilai iaitu 217 kuasa kuda (hp) pada 13,200 putaran enjin (rpm) dan 122 tork (Nm) pada 11,000 rpm. Tuono V4 pula dikuasakan dengan hanya 177 hp pada 11,000 rpm dan 121 Nm tork pada 9,000 rpm.

Apa yang boleh Sinar Turbo katakan, RSV4 ialah sebuah jentera yang dilengkapi dengan fairing penuh manakala Tuono pula adalah model naked.

RSV4 1100 Factory

Melihat kepada RSV4 1100 Factory, kebanyakan bahagiannya boleh dilaraskan. Fork Ohlins NIX 43 mm, monoshock Ohlins TTX, steering damper dan juga bahagian kerangka termasuk kedudukan headstock dan tinggi enjin antara yang boleh dilaras.

Satu lagi, ketinggian lengan ayun untuk disesuaikan dengan penunggang dan keadaan litar juga boleh dilaras.

Artikel Berkaitan:


BAGI kumpulan yang terawal berjaya memiliki unit ini, pihak Aprilia Malaysia akan melengkapkan aksesori corong udara untuk angkup brek hadapan secara percuma bernilai RM4,000.
BAGI kumpulan yang terawal berjaya memiliki unit ini, pihak Aprilia Malaysia akan melengkapkan aksesori corong udara untuk angkup brek hadapan secara percuma bernilai RM4,000.

Model itu didatangkan sekali dengan sistem ekzos titanium penuh Akrapovic. Panel badannya pula menggunakan gabungan bahan plastik impak tinggi dan gentian karbon (termasuk winglet).

Brek RSV4 1100 Factory pula dilengkapi dengan cakera berkembar 330 mm. Angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan disambungkan dengan sistem kawalan Bosch 9.1 MP Sistem Brek Antikunci (ABS).

Turut bersama fungsi di selekoh, kawalan roda belakang dan tiga tahap kekuatan brek.


SISTEM brek RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan cakera berkembar 330mm dan angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan.
SISTEM brek RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan cakera berkembar 330mm dan angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan.

Kelengkapan lain pada RSV4 1100 Factory termasuk sistem elektronik Kawalan Cengkaman (ATC), Kawalan Wheelie (AWC), Kawalan Pelancaran (ALC), Kawalan Cruise (ACC), Pengawal Kelajuan (APL) dan tiga pilihan mod tunggangan (Track, Sport dan Race).

Melengkapkan ciri, rim aluminium 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 200/55 di belakang. Tinggi tempat duduk 851 mm dengan tangki bahan api 18.5 liter dan berat keseluruhan 199 kg.

Selain itu, Aprilia MIA merupakan opsyen kepada pembeli yang menawarkan kawalan kepada kalibrasi data tunggangan. Sistem infotainment baharu dapat dilihat menerusi ciri arahan suara, yang pertama seumpamanya untuk RSV4.

Untuk pasaran Malaysia, Aprilia RSV4 1100 Factory ditawarkan pada harga bermula dari RM159,900 (atas jalan tanpa insurans) dan jaminan dua tahun tanpa had perbatuan.

BLACK matt diselangi grafik Atomico 6
BLACK matt diselangi grafik Atomico 6

Buat enam pembeli pertama yang berjaya mendapatkan unit masing-masing, pihak Aprilia Malaysia akan turut melengkapkan 'karakternya'. Aksesori corong udara untuk angkup brek hadapan secara percuma bernilai RM4,000!

Tuono V4 1100 Factory

Melihat Tuono V4 1100 Factory pula, ia menggunakan sistem suspensi semi aktif elektronik. Unit Smart EC 2.0 disambungkan kepada fork Ohlins NIX dan monoshock Ohlins.


Tuono V4 1100 Factory
Tuono V4 1100 Factory

Terdapat tiga mod aktif dan tiga mod manual. Penunggang boleh memilih demi mendapatkan prestasi yang bersesuaian.

Bahagian brek pula menggunakan cakera 330mm berkembar serta angkup Brembo M50 empat piston di hadapan. Bahagian belakang pula menggunakan cakera 220mm dan angkup Brembo satu piston.

Sistem brek itu turut didatangkan terus dengan hos jalinan logam. Ia disambung dengan sistem Bosch 9.1 MP ABS dengan fungsi di selekoh dan juga boleh dilaraskan dalam tiga mod.

Kelengkapan lain pada Tuono V4 1100 Factory termasuk ATC, AWC, ALC, ACC, APL, tiga mod tunggangan (Track, Sport dan Race). Tangki bahan api 18.9 liter, tinggi tempat duduk 825 mm dan berat 209 kg (dengan minyak penuh).

Bagi pasaran tempatan, Tuono V4 Factory diperkenalkan pada harga bermula RM119,000.