Usah nafikan hak anak autisme pelajari ilmu ALLAH

A
A
A

SOLAT Zuhur dan solat sunat Duha antara aktiviti wajib yang disenaraikan dalam jadual harian remaja autisme di Akademi Remaja Islam Autisma (Arisma) di Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Bukan itu sahaja, sejak dibuka enam tahun lalu, zikir dan ayat-ayat ruqyah juga antara rutin wajib diperdengarkan kepada anak-anak istimewa itu meskipun ada dalam kalangan mereka yang tidak boleh bertutur.

Pengetua yang juga Pengarah Program di Arisma, Siti Khadijah Md Zamin berkata, anak-anak autisme layak diperkenalkan dengan ayat-ayat ALLAH dan ibadah sepertimana manusia lain.

"Walaupun solat itu tidak wajib ke atas mereka, tetapi sebagai ibu bapa, kita wajib mengajar mereka. Lagipun, itu ialah ilmu ALLAH. Kenapa kita hendak nafikan hak mereka?

"Mereka pun hendak dengar al-Quran dan belajar. Ada juga dalam kalangan mereka yang pandai boleh jadi hafiz dengan menghafaz 30 juzuk al-Quran kerana ALLAH berikan kelebihan mereka di situ," katanya yang mempunyai seorang anak autisme, Muhammad Amir Haziq Omar berusia 25 tahun.

Menurutnya, al-Quran merupakan syifak iaitu penawar dan ia sepatutnya boleh dipelajari semua orang.

"Ilmu ALLAH itu rahsia-Nya. Dia boleh bagi hidayah kepada budak-budak autisme, tetapi kita sebagai ibu bapa perlulah berusaha," katanya yang mengusahakan Arisma bersama suaminya, Omar Ahmad, bermula dari rumah mereka di Ukay Perdana pada tahun 2013, sebelum menyewa sebuah rumah di kawasan berhampiran tahun lalu.

Menjawab satu soalan, kata Siti Khadijah: "Psikoterapi Islam begitu memberi kesan kepada anak-anak autisme yang kebanyakannya mengalami masalah sensori dari segi emosi dan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Pendidikan Barat ada terapi muzik audio yang boleh mendatangkan damai kepada anak-anak autisme, tetapi kita ada ayat-ayat ALLAH. Sebab itu selepas solat, kita adakan dan perdengarkan zikir.

"Siapa yang boleh sebut, mereka akan ikut. Jika tidak, mereka akan dengar. Pada saya, setengah jam mendengarnya sudah cukup bagus. Ia boleh membantu menenangkan anak-anak autisme kerana kadangkala mereka datang sini dalam keadaan sakit perut, tidak selesa dan sebagainya. Jadi kita guna terapi itu sebagai menenangkan mereka," katanya.

Selain santapan kerohanian, aktiviti di Arisma meliputi kemahiran kendiri seperti menguruskan diri, berinteraksi dengan persekitaran sekeliling dan kemahiran sosial.

Antara aktiviti dijalankan termasuklah berkebun, memasak, membuat roti, membeli-belah barang dapur serta dilatih untuk menjalankan pekerjaan yang boleh menjana duit poket.

Sementara itu, Omar yang juga Pengerusi Arisma berkata, pada masa akan datang, Arisma berhasrat untuk membuka satu kediaman satu penginapan yang dikenali sebagai Desa Arisma.

"Ia bagi yang menyediakan program lengkap kemahiran hidup serta kehidupan seharian untuk remaja autisme menjalani kehidupan berdikari," katanya.

(ARTIKEL BERKAITAN: Transisi positif anak autisme)