Transisi positif anak autisme

A
A
A

KALI pertama melihat remaja autisme menunaikan solat beramai-ramai, perasaan penulis bergetar. Rasa itu bercampur-baur. Kagum dan cukup tersentuh.

Meskipun dengan bantuan video dan audio yang diletakkan membelakangi mereka, ternyata semua remaja istimewa di sisi ALLAH itu mampu mengingat setiap pergerakan dalam solat.

Ya, memang ada yang tidak boleh menyebut bacaan dengan baik, tetapi mereka seolah-olah tahu bagaimana kedudukan solat ketika bacaan itu sedang dilafazkan dalam audio.

Di sekeliling saf mereka, lima orang guru setia memantau pergerakan solat mereka. Jika dirasakan tidak betul, si cikgu akan memberi teguran berhemah.

Demikian suasana indah yang penulis lalui sepanjang berada di Akademi Remaja Islam Autisme (Arisma) yang terletak di Ukay Perdana, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Berdasarkan rekod, setakat ini terdapat 12 remaja autisme berusia 13 hingga 25 tahun di Arisma. Aktiviti mereka bermula pada jam 9 pagi hingga 4.30 petang.

Seperti yang diketahui umum, anak-anak autisme seolah-olah memiliki dunia mereka tersendiri. Namun, di sebalik kekurangan itu semua, terdapat sisi istimewa mereka.

Golongan autisme sebenarnya berupaya berdikari jika diberi pendekatan yang tepat. Paling signifikan ialah ilmu fardu ain yang mampu menyuntik ketenangan dalam kalangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Pernyataan itu disokong oleh dua ibu anak-anak istimewa berkenaan iaitu Mimi Rozilla Mustaman dan Ardena Abd Aziz.

Dua ibu berhati waja itu senada dengan berkata: "Ilmu fardu ain tidak boleh disisihkan walaupun anak-anak autisme tidak mengerti apa yang mereka sebenarnya lakukan."

Sudah boleh bersolat

Ardena (kiri), bersama anak keduanya, Syed Nasri yang menyertai program Arisma di Ukay Perdana, Ampang.
Ardena (kiri), bersama anak keduanya, Syed Nasri yang menyertai program Arisma di Ukay Perdana, Ampang.

Kepada Sinar Islam, Ardena membuka cerita tentang anak keduanya, Syed Nasri Syed Nasimudin, 17, yang didiagnos autisme pada usia 2 tahun lebih.

Sebelum disahkan autisme, Syed Nasri boleh bertutur dengan lancar, boleh menyanyi dan mengira.

"Namun, tanpa sebarang tanda hatta demam sekalipun, tiba-tiba Nasri jadi 'kosong'. Langsung tidak bercakap ketika umurnya 2 tahun lebih sehingga disahkan autisme oleh doktor," katanya yang kemudian sanggup terbang ke Amerika Syarikat demi mempelajari kaedah intervensi demi anak mereka.

Ardena bersyukur, usaha mereka membuahkan hasil. Syed Nasri sudah boleh bercakap tetapi hanya sedikit dan bermanja-manja dengan orang lain berbanding sebelum ini.

"Saya juga hantar anak ke sekolah pendidikan khas sejak berusia enam tahun. Selepas 10 tahun, saya tukarkan Nasri ke Arisma lantaran akademi itu menekankan persekitaran yang Islamik," katanya.

Sepanjang membesarkan anak autisme, Ardena mengakui, ia bukan satu tugas mudah. Peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul sesuai menggambarkan cetusan perasaannya.

Dengan nada penuh kesyukuran, wanita itu memberitahu, sejak berada di Arisma, Syed Nasri sudah mampu bersolat dengan lebih baik.

"Alhamdulillah, dia juga sudah boleh membaca Surah al-Fatihah dan zikir subhanallah serta walhamdulillah. Memang pertuturan dia tidak begitu jelas, tetapi Nasri boleh baca al-Fatihah dan berzikir dengan syarat kena dalam bentuk nyanyian," kata bekas ketua kawalan projek di sebuah syarikat terkemuka dalam industri minyak dan gas itu.

Mengulas lanjut, Ardena berkata, beliau dan keluarganya sedang berusaha untuk memastikan Syed Nasri menjaga solatnya.

"Kami juga kerap pasang cakera padat zikir dan alunan ayat-ayat al-Quran untuk dia dengar. Saya perasan, kalau pasang zikir, Nasri nampak tenang," ujarnya.

Banyak perubahan

Mimi Rozilla (kiri) memilih Arisma yang berkonsepkan Islamik demi kebaikan anaknya, Mohamad Nazmi.
Mimi Rozilla (kiri) memilih Arisma yang berkonsepkan Islamik demi kebaikan anaknya, Mohamad Nazmi.

Perubahan sama turut berlaku pada anak Mimi Rozilla, 47, iaitu Mohamad Nazmi Fadhil.

Ujar Mimi, Mohamad Nazmi yang kini berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah ditempatkan di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, Titiwangsa, Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, Nazmi sudah boleh membaca dan mengira, tetapi dalam bahasa Inggeris kerana sebutannya lebih ringkas. Nazmi boleh bertutur, tetapi tidak begitu jelas.

"Selepas umurnya 20 tahun, dia sudah boleh buat semua sendiri. Bila dia sudah remaja, saya cuba hendak terapkan dia kepada konsep Islamik. Ketika saya buat kajian, di situlah saya nampak Arisma sebagai pilihan," katanya yang menghantar Mohamad Nazmi ke Arisma sejak Februari lalu.

Kata Mimi Rozilla yang juga pengurus sebuah institusi kewangan terkemuka, sejak kecil lagi, beliau mengajar Mohamad Nazmi solat sejak kecil.

"Namun, Nazmi agak hiper. Kadangkala bila kita solat di depan dan dia di tepi atau belakang, apabila kita selesai solat dan pusing belakang, dia sudah 'hilang'. Rupa-rupanya ada di dapur sedang makan.

"Sebagai seorang ibu, mungkin saya rasa tidak mengapa dia begitu, tetapi sebenarnya kita kena tegas. Namun, sejak Nazmi di Arisma, dia sudah tahu dan menjadikan solat sebagai rutin hariannya, Mungkin sebab kawan-kawan dan penekanan yang diberikan di sini.

"Cuma, sebutannya tidak begitu jelas. Jika dia baca ayat al-Quran, dia baca dengan sebutan dan pemahamannya sendiri, tetapi di hujung-hujung ayat seakan-akan ada bunyi ayat berkenaan. Nazmi boleh baca al-Fatihah, doa makan dan naik kenderaan yang menjadi rutinnya," ujar beliau.

Seperti ibu bapa lain, Mimi Rozilla mengharapkan anak istimewanya boleh menjaga diri sendiri dan lebih berdikari.