Norway penjarakan pendakwah warga Iraq

Mullah Krekar (dua dari kiri) ditahan Agensi Perisikan Norway (PST) pada Isnin lalu di Oslo di bawah waran tangkap antarabangsa dan Itali.
Mullah Krekar (dua dari kiri) ditahan Agensi Perisikan Norway (PST) pada Isnin lalu di Oslo di bawah waran tangkap antarabangsa dan Itali.
A
A
A

OSLO - Norway semalam menjatuhkan hukuman penjara terhadap pendakwah kontroversi warga Iraq, Mullah Krekar selepas disabit bersalah di Itali atas dakwaan konspirasi pengganas, kata peguamnya kepada AFP.

Krekar, 63, ditahan Agensi Perisikan Norway (PST) pada Isnin lalu di Oslo di bawah waran tangkap antarabangsa dan Itali.

Hakim sebuah mahkamah di Osla berkata, Krekar perlu ditempatkan dalam tahanan sementara selama empat minggu.

Sementara itu, Kementerian Keadilan Itali memberitahu media Norway bahawa Rom akan mengemukakan permohonan rasmi bagi proses ekstradisi Krekar.

Bagaimanapun, proses itu mungkin mengambil masa bertahun lamanya memandangkan pasukan peguam Krekar berkata mereka bakal mengemukakan rayuan terhadap hukuman 12 tahun penjara yang diputuskan sebuah mahkamah di Bolzado di utara Itali pada Isnin lalu.

Krekar atau nama sebenarnya Najumuddin Ahmad Faraj telah tinggal di Norway sejak 1991.

Beliau didapati bersalah mengetuai Rawti Shax, sebuah rangkaian yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Daesh dan disyaki merancang serangan di Barat.

Peguamnya, Brynjar Meling berkata, Krekar menafikan tuduhan terbabit dan akan mengemukakan rayuan bagi pertuduhannya digugurkan.

Artikel Berkaitan:

"Dia tiada kaitan dengan Daesh. Matlamat utamanya adalah untuk kembali ke Kurdistan di Iraq, menubuhkan parti dan menjadi ahli politik," ujar Meling.

Krekar dianggap ancaman kepada keselamatan negara selain namanya termasuk dalam senarai pengganas dikelarukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat.

Krekar berisiko dihantar pulang sejak 2003, bagaimanapun undang-undang Norway menghalang pengusirannya ke Iraq kerana beliau berdepan risiko hukuman mati di negara asal. - AFP