8,936 aduan berhubung meter pintar di Melaka

Mohd Sofi ketika menjawab soalan Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Syarikat gergasi utiliti, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima kira-kira 8,936 aduan rakyat negeri ini mengenai isu meter pintar (smart meter) dalam tempoh dua bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,932 aduan pada bulan Mei dan Jun itu telah diselesaikan dengan aduan tertinggi yang diterima dari Melaka Tengah iaitu sebanyak 6,970 aduan, diikuti Jasin sebanyak 609 aduan, Alor Gajah (586), Masjid Tanah (384) dan Merlimau sebanyak 387 aduan.

Menurutnya, antara aduan diterima termasuklah pemasangan meter pintar, pengguna tidak menerima bacaan meter sebenar, semakan meter dan kejituan meter pintar selain syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad sedang berusaha menyelesaikan keseluruhan pemasangan meter pintar selewat-lewatnya Disember tahun ini.

"Hampir 9,000 aduan diterima pada bulan Mei dan Jun dan sebelum ini dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari telah minta TNB untuk beri penjelasan berhubung isu meter pintar pada 10 Mei lalu.

"Daripada pertemuan itu, TNB memberi jaminan untuk menyelesaikan segala isu berbangkit berhubung meter pintar mengikut garis panduan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, malah turut dipantau oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Suruhanjaya Tenaga," katanya.

Mohd Sofi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) ketika Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mohd Sofi (Amanah-Durian Tunggal) berkata, hasil daripada pertemuan tersebut, TNB mengadakan program Hari Bersama Pelanggan di seluruh pejabat TNB negeri bermula 28 hingga 31 Mei lalu selain inisiatif syarikat utiliti itu mewujudkan kaunter khas aduan dan masih lagi dibuka kepada orang ramai hingga hari ini.

Menjawab soalan tambahan, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang mempersoalkan ‘kepintaran’ meter itu hingga mengundang banyak aduan pengguna, Mohd Sofi berkata, TNB mengambil maklum pelbagai aduan dibangkitkan dalam mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan.

Menurutnya, TNB juga akan terus memperluaskan maklumat berhubung penggunaan elektrik secara berhemah dan sedia menyelesaikan masalah, namun pengguna harus memberikan kerjasama termasuk berada di rumah, premis dan pejabat sekiranya kakitangan TNB datang membuat pemeriksaan.

"Saya difahamkan, jumlah aduan semakin berkurang selepas pengguna mendapat pemahaman lanjut dan setakat Julai ini, saya belum menerima sebarang aduan berhubung meter pintar," katanya.

Damian Yeo Shen Li (PH-Duyong) dalam soalan tambahannya turut membangkitkan kerisauan pengguna yang bimbang mengenai pemasangan pemasangan meter pintar terutama penduduk di Taman Seri Duyong lebih-lebih lagi sebuah rumah pernah terbakar dipercayai berpunca daripada meter pintar.

"Sesebuah organisasi seperti TNB perlu bersedia berdepan pelbagai persepsi yang dibangkitkan pengguna dan berusaha menangani permasalahan dibangkitkan supaya sasaran pengurangan aduan dapat dicapai pada masa depan," katanya.