Peguam Negara mahu Najib mohon maaf

Najib dan Tommy
Najib dan Tommy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memohon Datuk Seri Najib Tun Razak membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung catatan Facebook bekas perdana menteri itu mengenai perbelanjaan kad kreditnya lebih RM3 juta.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Najib dalam catatan Facebook berkenaan telah mempertahankan perbelanjaan kad kreditnya, dengan menyatakan ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat Raja dari negara lain.

“Yang Arif, tindakan tertuduh boleh membawa kepada sub judice (sedang dipertimbangkan oleh mahkamah, oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai), dan beliau perlu dilayan seperti tertuduh yang lain dalam hal ini.

Beliau tidak boleh dilayan dengan cara berbeza daripada tertuduh lain hanya kerana beliau seorang ahli politik dan bekas perdana menteri," katanya.

Thomas merujuk kepada catatan Najib mengenai keterangan saksi pendakwaan ke-47 pada 15 Julai bahawa dua kad kredit milik Najib digunakan untuk membelanjakan RM3.3 juta dalam sehari, di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014

“Kami memohon permohonan maaf tanpa syarat daripada tertuduh terhadap apa yang beliau telah lakukan serta jaminan tidak akan mengulanginya," kata Thomas.

Bagaimanapun, peguam Najib, Harvinderjit Singh memohon masa untuk berunding dengan peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung permohonan itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan yang tidak dibantah Thomas.

Artikel Berkaitan:

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung.- Bernama