Stacy kurus sebab nak jaga suara

Stacy
A
A

PENYANYI, Stacy memberitahu dirinya nampak kurus kerana disiplin diri dari segi penjagaan pemakanan yang betul.

Menurut pelantun lagu Khayal itu, dia perlu menurunkan berat badan daripada 52 kilogram (kg) ke 45 kg kerana mahu mendapatkan suara nyanyiannya semula.

"Tahun ini saya nak berikan sepenuh tumpuan semula kepada industri muzik. Disebabkan itu saya kena kurus dan hanya tertib dengan pengambilan makanan yang betul.

"Sebelum dapat berat badan sekarang, apabila menyanyi saya akan rasa penat dan berat.

"Tambah pula selepas beranak badan memang naik, jadi saya rasa tidak puas hatilah," ujarnya kepada Sinar Harian.

Stacy ditemui pada sidang media Mentor Milenia musim ketiga, pada Selasa lalu.

Stacy
Stacy

Mengulas mengenai pengambilan ubat kurus, Ummu Syaikhah Stacy Anam atau Stacy, 29, mengakui sebelum mempunyai cahaya mata dia pernah makan ubat tersebut namun beratnya semakin naik.

"Dulu saya pernah ambillah ubat kurus tetapi jadi lagi gemuk," ujarnya ringkas.

Mengenai pembabitan kali pertama sebagai Mentor, Stacy teruja untuk memulakan cabaran baharu, selain dapat bekerjasama dengan suaminya, Akim Ahmad.

"Alhamdulillah syukur dengan rezeki yang datang ini. Rezeki takkan nak tolak, selain itu sudah tentu kerana ada suami.

"Kalau dulu saya bantu dia, kini saya pula duduk di kerusi Mentor dan pada masa sama berkerja dengan dia.

"Jauh di lubuk hati saya juga kerana berasakan sudah tiba masanya untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran saya dalam bidang muzik ini.

"Saya tak mahu bakat baharu keluar dengan hasil yang cincai," katanya.

Stacy turut berkata, peserta perlu hadir dengan diri yang sudah siap.

"Program ini tak lama, masa suntuk, jadi yang datang perlu siap dari segenap segi. Kami di sini sebagai Mentor hanya membantu untuk menyerlahkan sisi diri sendiri dengan lebih baik sahaja," katanya tegas.

Selain Stacy, barisan Mentor lain terdiri daripada Ernie Zakri, Black Hanifah, Hazama dan Akim.

Uji bakat pencarian protege bakal diadakan di dua lokasi iaitu Promenade Hotel, Kota Kinabalu pada 3 dan 4 Ogos serta Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam (24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September).

Mentor Milenia bakal menemui penonton TV3 bermula 6 Oktober ini pada setiap Ahad jam 9 malam selama 10 episod.

Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi RM100,000 berserta trofi.

Program itu dihoskan oleh Shuk Sahar dan Elly Mazlein.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia