Enam kilang plastik kitar semula diserbu

Sebuah kilang plastik kitar semula yang diserbu dalam operasi penguatkuasaan hari ini.
Sebuah kilang plastik kitar semula yang diserbu dalam operasi penguatkuasaan hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak enam kilang plastik kitar semula yang menjalankan operasi secara haram sekitar daerah Kuala Selangor lumpuh berikutan bekalan elektrik dan air dipotong di premis berkenaan.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Lokman Ujang berkata, operasi bersepadu itu bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir jam 1 petang tadi.

Menurutnya, serbuan itu meliputi empat kilang di Ijok, masing-masing satu di Bestari Jaya dan Jeram.

"Operasi ini diadakan ekoran arahan kerajaan negeri meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat tindakan tegas terhadap kilang kitar semula plastik haram beroperasi tanpa lesen," katanya pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di sini hari ini.

Lokman berkata, operasi itu melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, imigresen, polis, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan Tenaga Nasional Berhad.

Beliau memberitahu, tinjauan di sebuah kilang di Ijok mendapati terdapat empat pekerja kilang warga Bangladesh di kilang terbabit.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun dan seorang daripada mereka berusia 29 tahun yang ditahan mengaku bertemu rakannya di kilang terbabit," katanya.

Ujarnya, sebelum ini MDKS pernah mengeluarkan dua notis arahan penutupan operasi kilang terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pemilik terbabit yang menjalankan operasi sejak 2017 lalu masih ingkar dengan arahan berkenaan.

"Kita juga dapati, plastik kitar semula diletakkan di luar premis yang boleh mengakibatkan kacau ganggu selain keadaan persekitaran tercemar dengan bau busuk," katanya.

Malah, tegas beliau, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik tanah persendirian yang menyewakan kawasan itu bagi operasi kilang terbabit.

"Bagaimanapun, kita perlu melakukan pencarian di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor bagi mengenal pasti pemilik tanah," katanya.

Ujarnya, dalam satu lagi serbuan di kawasan Perindustrian Ijok sebuah premis kitar semula tidak lagi beroperasi sejak kira-kira sebulan lalu.

"Bagaimanapun, kita dapati, masih terdapat plastik kitar semula dan mesin pemprosesan masih ditinggalkan di dalam premis terbabit," katanya.

Beliau berkata, kilang seluas 1.12 hektar itu dipercayai mula beroperasi secara haram kira-kira setahun lalu itu tidak mengikut peraturan ditetapkan.

"Plastik yang ada ini kebanyakannya plastik kitar semula tempatan dan yang diimport dari luar negara dikumpul dan diperoses di kilang ini," katanya.

Beliau menegaskan, plastik kitar semula memberi kesan kepada kualiti udara, membahayakan kesihatan, sungai tercemar, tapak pelupusan sampah haram dan masalah lain yang berkaitan.

Katanya, pemilik premis terbabit diberi notis selama tiga bulan untuk mengosongkan premis terbabit.

"Sekiranya pemilik masih ingkar, kita terpaksa mengambil tindakan menyita premis berkenaan," katanya.

"Semua kilang diserbu itu disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKS 2007," katanya.