JPN terima lebih 100,000 permohonan kewarganegaraan

Azis
Azis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara menerima sebanyak 111,142 permohonan kewarganegaraan dari 2013 hingga 2018, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26,222 permohonan telah ditolak manakala 54,222 permohonan masih dalam proses, 24,327 lulus dan 6,371 dibatalkan.

"Setiap permohonan kewarganegaraan diproses berdasarkan prosedur pengendalian standard (SOP) yang diperincikan mengikut peruntukan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 serta perundangan berkaitan seperti pendaftaran perkahwinan, kesahtarafan anak, peraturan imigresen dan lain-lain.

"Pertimbangan terhadap fakta dan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh pemohon dilaksanakan dengan teliti secara 'case by case' mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan," katanya dalam sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin tahu berapakah jumlah permohonan kewarganegaraan telah diterima sepanjang tempoh itu.

Mohd Azis berkata, kementerian itu sedang memuktamadkan pengemaskinian SOP dalam penganugerahan kewarganegaraan berdasarkan kepada perundangan serta mengambil kira pelbagai aspek kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan warganegara sedia ada.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan Pelan Strategik Polis Diraja Malaysia 2015-2020 bagi mengukuhkan aspek organisasi termasuk sumber manusia, logistik dan kebajikan anggota.

Beliau berkata, pelan strategik itu meliputi pelan kerjaya anggota polis dan perancangan penambahbaikan gaji, elaun anggota untuk dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain pembangunan Pelan Transformasi Sumber Manusia yang dijangka siap tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azis berkata demikian bagi menjawab soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang ingin tahu apakah pelan strategik dan hala tuju pembangunan sumber manusia dan logistik PDRM dalam lima tahun akan datang. - Bernama