Anwar terima baik teguran pimpinan PKR

Anwar. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar. - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap kenyataan 28 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan mencetuskan perpecahan kepada parti.

Sebaliknya, kata Anwar, beliau menerima teguran tersebut supaya PKR bersatu biarpun seolah-olah 28 pemimpin kanan dalam parti itu mempertikaikan kredibilitinya sebagai Presiden.

“Saya terima pandangan daripada ahli Parlimen dan MPP. Maksud mereka untuk pastikan parti ini tidak kelihatan terlalu tegang, jadi mereka beri peringatan supaya parti boleh bersatu.

“Saya terima baik pandangan mereka, nampak macam mereka mempertikaikan kewibawaan saya sebagai Presiden PKR. Tapi saya sambut positif cadangan mereka supaya bersatu agar tak ada ketegangan terus dalam isu libatkan Mohamed Azmin.

“Sebelum ini saya sudah katakan kita menolak budaya politik jijik dan saya kata kalau video itu sahih harus letak jawatan. Itulah sebaiknya saya tak layan soalan media, tunggu saja laporan siasatan polis,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Anwar bagaimanapun optimis konflik yang melanda PKR mutakhir ini tidak akan menjejaskan perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya tak rasa isu itu akan gugat PH. Ia hanya melibatkan seorang, dua individu saja. Tapi saya yakin dengan semangat mesej yang ingin disampaikan pimpinan PKR itu.

“Mereka cuma menuntut kesatuan dalam parti, saya terima ia dengan sudut pandang positif. Ia bukan gerakan pecah-belah parti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun mengakui masa-masa sukar yang sedang dilalui Timbalan Presiden PKR itu.

“Saya faham beliau sedang melalui saat sukar dan saya mungkin tidak akan memberi respon terhadap ‘kemarahan’ spontan memandangkan Mohamed Azmin tidak membaca kenyataan penuh.

“Saya tentunya tidak mengatakan beliau patut meletakkan jawatan. Itu bukan salah lapor, mungkin tajuknya sahaja yang sensasi. Saya katakan terpulang kepada siasatan polis,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 28 pemimpin PKR tegur Anwar

Hari ini, seramai 28 Ahli MPP dan ahli Parlimen PKR mendesak Presiden PKR berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Mohamed Azmin perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.

Dalam satu kenyataan bersama pagi ini, mereka juga menegaskan kenyataan Anwar itu tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi.