67 GRO warga asing ditahan di Kuantan

Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Op Noda di dua pusat hiburan di Kuantan awal pagi tadi.
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam Op Noda di dua pusat hiburan di Kuantan awal pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 79 individu termasuk 67 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan hasil serbuan Op Noda di dua pusat hiburan di Jalan Gambut di sini awal pagi tadi.

Serbuan bermula jam 1.05 pagi yang dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dibantu pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu susulan maklumat kegiatan dua pusat hiburan berkenaan yang menawarkan khidmat GRO warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, GRO berusia 19 hingga 40 tahun yang ditahan termasuk 33 warganegara Thailand, 29 warga China, empat warga Vietnam dan seorang dari Laos.

Menurutnya, turut ditahan 12 individu dipercayai pekerja dua premis berkenaan termasuk lapan warga tempatan dan empat warga Bangladesh masing-masing berusia 20 hingga 40 tahun untuk siasatan lanjut.

“Hasil serbuan, polis turut merampas set wakie talkie, lesen pusat hiburan tamat tempoh, resit jualan, jadual tugas pekerja, minuman keras dan wang tunai RM8,157.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963, Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)b Enakmen Hiburan Negeri Pahang,” katanya.

Mohd Hedzir berkata, hasil siasatan mendapati GRO tanpa permit kerja yang sah itu mampu memperoleh pendapatan lumayan apabila menerima bayaran antara RM240 hingga RM640 hasil empat jam melayan pelanggan.

Katanya, ada juga GRO yang bekerja di salah satu pusat hiburan itu turut menerima komisen daripada hasil jualan minuman keras yang dipesan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

“Agak mengejutkan apabila hasil pemeriksaan dapati kedua-dua premis yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu tidak mempunyai lesen perniagaan pusat hiburan yang sah dan dipercayai telah tamat tempoh,” katanya.