Kembalikan PPSMI: ABIM gesa kerajaan ambil iktibar kesilapan lalu

Mohamad Raimi
Mohamad Raimi
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan mengambil iktibar dan tidak melakukan kesilapan yang merugikan masa hadapan anak-anak, serta masa hadapan negara dengan mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, sejelasnya, polisi yang berkaitan pendidikan perlu berasaskan data empirikal bukan berasaskan persepsi.

“ABIM berpendirian bahawa hasrat mengembalikan semula PPSMI adalah langkah ke belakang dan merupakan satu halangan dalam melahirkan masyarakat saintifik, berilmu dan mahir dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelaksanaan semula PPSMI sedang dikaji - PM

“Dasar PPSMI sebelum ini hanya memberikan manfaat kepada tidak lebih lapan peratus daripada keseluruhan murid di negara ini yang datangnya daripada kumpulan murid yang telah pun menguasai Bahasa Inggeris.

“Ia telah menyebabkan majoriti murid sederhana dan lemah daripada kelompok bandar dan luar bandar gagal menguasai konsep asas Sains dan Matematik dan pada masa sama tidak menguasai Bahasa Inggeris dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Raimi berkata, berdasarkan data pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, PPSMI telah memangsakan 170,000 murid yang gagal kedua-dua mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Kemelut defisit ilmu asas yang dialami murid berterusan sehingga ke peringkat menengah atas, apabila kemasukan murid ke bidang Sains semakin menurun secara konsisten sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Generasi PPSMI yang menceburi bidang sains menurun daripada 29.35 peratus pada 2012, menurun kepada 28.90 peratus pada 2013, turun lagi kepada 28.69 peratus pada 2014, dan terus menurun kepada 23.15 peratus dan 23.19 peratus pada 2016 dan 2017,” katanya.

Justeru, Mohamad Raimi berkata, data itu sangat membimbangkan kerana pada waktu ini, dalam era revolusi perindustrian keempat, sumber manusia yang diperlukan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sangat kritikal, namun semakin ramai murid tidak mahu dan tidak mampu untuk meneruskan pengajian dalam bidang tersebut.

“Selain itu, secara keseluruhan, hanya 21 peratus sahaja sekolah menengah di seluruh negara mencapai nisbah dasar 60:40 yang mana pada ketika ini lebih menyukarkan untuk negara menjadi masyarakat saintifik.

“Lebih memburukkan keadaan, setelah tamat persekolahan menengah di tingkatan lima, hanya 40 peratus daripada bilangan murid aliran STEM ini yang meneruskan pengajian di peringkat tinggi (diploma, atau ijazah pertama) dalam bidang sains dan berkaitan dengannya, termasuk program dalam bidang teknologi dan vokasional,” jelasnya.

Selain itu, laporan Akademi Sains Malaysia turut menunjukkan hanya 20 peratus sahaja yang lulus dan bergraduasi.

“Pencapaian literasi Sains dan Matematik, serta literasi bacaan murid Malaysia melalui pentaksiran antarabangsa 'Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)' dan 'Programme for International Students' Assessment (PISA)' pada peringkat antarabangsa juga menjunam secara konsisten bermula kitaran 2003 (TIMSS) dan 2012 (PISA), iaitu ketika generasi PPSMI yang mendudukinya.

“Sedangkan, pada ketika itu, negara yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran Sains dan Matematik meningkat, konsisten dan cemerlang seperti Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, Finland dan Jepun,” katanya.

Oleh itu katanya, belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang diingini dan diminati demi kemajuan anak bangsa.

“Pertingkatkanlah penguasaan Bahasa Inggeris dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut. Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih faham mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka,” katanya.