Apabila Azmin diberi kata dua

Capture
Capture
A
A
A

ADAKAH perang baru saja bermula? Bagi saya tidak begitu. Perang sudah lama berlaku, sangat lama.

Ia mungkin bermula sejak PRU13 melabuhkan tirai, apabila Azmin mula mengasak dan menyindir gerakan Blackout 505. Sindiran dan hinaan Azmin terhadap mereka yang memilih demonstrasi jalan raya untuk lawan penipuan pilihan raya.

Apakah Azmin ketika ini sudah lupa bahawa gerakan Reformasi itu pun bermula dari jalan raya? Adakah dia lupa gerakan jalan raya inilah yang membawa kerusi empuk menteri besar dan menteri kanan untuknya.

Perang sudah berlaku ketika terbitnya perkataan 'Istana Segambut' yang diuarkan oleh minion-minion Azmin. Minion yang akhirnya dilihat kaya-raya, dengan pakaian mewah lagi berjenama. Minion yang juga akhirnya berjaya membina sebuah istana Disneyland di Ampang dan bermacam kekayaan lagi.

Perang mungkin sudah lama bermula dalam 'battle' merebut jawatan Menteri Besar Selangor. Jangan kita lupa selepas PRU13, ketika Pakatan Rakyat sedang bertelagah dek kekalahan yang antara puncanya sabotaj oleh parti agama, Azmin mengheret 13 MP untuk satu sidang media tergempar di de Palma Hotel Ampang, yang akhirnya dibatalkan.

Perang masih sedang berlangsung ketika Azmin berdegil membela parti agama di Selangor. Malah ayatnya "Tiada Pakatan Rakyat di Selangor" masih terngiang. Azmin tidak langsung membenarkan Pakatan Harapan bertapak di Selangor untuk membela dan mengasuh parti agama. Ini juga 'battle', yang akhirnya terkandas parti agama di Selangor, menjadi bukti membela dan mengasuh parti agama tidak membuahkan hasil.

Cukuplah flashback setakat itu, asalkan naratifnya difahami iaitu perang sebenarnya sudah lama bermula. Dan pada kiraan saya, perang sudah memasuki fasa akhir, fasa 'Endgame'.

Kemuncak perang ialah apabila serangan yang berlaku tidak lagi berlapik, tidak lagi menggunakan minion, tetapi dilakukan sendiri oleh Azmin yang biasanya dilihat 'cool', atau cuba untuk 'cool'. Serangan terbuka Azmin terhadap bosnya Anwar Ibrahim telah dilihat oleh pemerhati, sebagai satu klimaks dari satu adengan 'multiple climax'.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang mungkin terkejut respons Azmin begitu biadab. Dalam bacaan politik, Azmin telah koyak. Seorang panglima yang punya hashtag #KekalTenang, telah tidak lagi tenang, lalu menjadi #KekalTegang. Azmin masih punya ramai minion untuk mainkan peranan, tetapi mengapa respon Azmin begitu rabak?

Apabila Tun Mahathir memberi kata dua buat Azmin, sama ada Azmin nak bercuti atau terus bekerja, ia merupakan bahasa orang tua yang cukup berlapik, dengan kata lain "hang rehatlah bagi polis siasat". Ini yang membuatkan Azmin mula panasaran, hilang terus fikrah ketenangan.

Implikasinya, rakyat akan menilai berdasarkan tindakan dan bahasa badan, Azmin akan mendapat tekanan yang besar dari rakyat dan akar umbi supaya bercuti rehat, dan mungkin bersara. Peralihan kuasa berjalan lancar selepas itu, dalam keadaan aman dan damai tanpa perang.

Dalam bahasa, kita hanya ada perkataan perang yang spesifik kepada maksud 'war'. Maksud 'battle' juga perang, maksud skirmish juga perang. Saya tak peduli tentang ini. Apa yang penting, biar mereka menang beberapa skirmish dan battle, kita tamatkan 'war' dengan kemenangan di pihak rakyat. Ya, Anwar Ibrahim pemimpin rakyat.

Edy Noor Reduan, Aktivis Blogger