Pemandu tidak mencarum akan dikompaun sehingga RM5,000

Ahmad Suzaimie (tujuh dari kanan) menyerahkan Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Murugasu di Terminal Bas dan Teksi Kluang.
Ahmad Suzaimie (tujuh dari kanan) menyerahkan Faedah Hilang Upaya Sementara kepada Murugasu di Terminal Bas dan Teksi Kluang.
A
A
A

KLUANG - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang menggesa semua pemandu termasuk perkhidmatan e-hailing dan teksi di daerah ini mendaftar serta mencarum di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS).

Pengurus Pejabat Perkeso Kluang, Ahmad Suzaimie Abdul Aziz berkata, pemandu yang didapati bersalah dan enggan mendaftar bakal dikenakan kompaun maksimum sehingga RM5,000 bergantung kepada kesalahan dan jangka masa ia dilakukan.

“Mereka (pemandu) yang gagal mencarum dengan Perkeso sebelum 31 Julai ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan perlaksanaan ini demi menjaga kebajikan pemandu kerana selepas ini kita akan melakukan ‘enforcement’ (penguatkuasaan).

“Sebab itu hari ini kita mengadakan sesi libat urus bersama pemandu teksi dan kereta sewa di Terminal Bas dan Teksi Kluang bagi meningkatkan kesedaran golongan ini. Apa yang penting kita mahu mengelakkan daripada mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media semasa Program Perkeso Bersama Pemandu Teksi dan Kereta Sewa di Terminal Bas dan Teksi Kluang di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Persekutuan Drebar-Drebar Melayu Kluang, Mustakim Jalil.

Pada program itu, Perkeso turut menyerahkan Faedah Hilang Upaya Sementara kepada pemandu teksi, S Murugasu yang terlibat kemalangan jalan raya sewaktu sedang bertugas pada 20 Mei lalu di Kilometer 7.2 Jalan Nyior-Kluang.

Ahmad Suzaimie berkata, SPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dan sangat bermanfaat seperti yang disarankan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara faedah yang disediakan di bawah SPS ialah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pendidikan.

Sementara itu, Mustakim berkata, sehingga ke hari ini, seramai 142 daripada 169 ahli daripada empat persatuan di bawah Jawatankuasa Terminal (JKT) telah berdaftar dan membuat caruman dengan Perkeso.

“Saya sudah lihat ada beberapa kes pemandu teksi ditimpa kemalangan sebelum ini tidak dilindungi sehingga kebajikan mereka terabai dan kewujudan skim ini sebenarnya merupakan satu khabar gembira buat pemandu teksi seperti kami.

“Kita harap tindakan ini mampu menjadi contoh terbaik kepada lebih ramai pemandu teksi kerana mereka bakal mendapat manfaat daripada skim ini sekiranya berlaku kemalangan. Sebenarnya kerjaya pemandu teksi ini memang terdedah dengan banyak risiko,” katanya.