Raja Dadah Mexico dipenjara seumur hidup

El Chapo (tengah) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Persekutuan AS.
El Chapo (tengah) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Persekutuan AS.
A
A
A

NEW YORK - Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di Brooklyn semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Raja dadah Mexico, Joaqin 'El Chapo' Guzman atas pelbagai kesalahan berkaitan jenayah dadah selama hampir tiga dekad.

Guzman, 62, disabit bersalah menyeludup ratusan tan kokain, heroin, methamphetamine dan ganja ke AS termasuk pengubahan wang haram serta kesalahan berkaitan senjata api.

Hakim Brian Cogan yang menjatuhkan hukuman itu turut mengarahkan bekas pemimpin kartel dadah Sinaloa di Mexico itu membayar AS$12.6 bilion (RM51.8 bilion) dalam bentuk rampasan.

Guzman yang nama jolokannya itu bermaksud ‘Si Pendek’ mempunyai reputasi ala Robin Hood yang menyebabkan penduduk tempatan menganggapnya wira.

Dia meloloskan diri buat kali pertama dari penjara berkawalan maksimum di Mexico pada 2011 selepas merasuah pegawai penjara dan sekali lagi pada 2016.

Pada Januari 2017, Guzman akhirnya diekstradisi ke AS.

Guzman menjadi terkenal sebagai pengedar dadah pada 1980-an dengan mengorek terowong di bawah sempadan AS-Mexico yang membolehkannya mengedar bahan berkenaan lebih pantas berbanding saingannya.

Pendakwa AS mendakwa Guzman menjual dadah bernilai lebih AS$12 bilion (RM49 bilion) malah majalah Forbes pernah menyenaraikannya antara lelaki terkaya dunia. - AFP

Artikel Berkaitan: