Turunkan had mengundi mungkin 'makan diri': Young Syefura

Young Syefura
Young Syefura
A
A
A

PUTRAJAYA - Menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun berkemungkinan akan memerangkap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, perkara itu akan berlaku sekiranya kerajaan tidak berusaha memenuhi janji-janji serta menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berkaitan anak muda.

“Kalau kita lihat hari ini masih terdapat beberapa manifesto yang belum lagi ditunaikan dan contoh paling jelas berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kalau kerajaan hari ini tidak berusaha untuk menunaikan janji-janji ini, maka usaha menurunkan had umur ini akan memakan diri PH sendiri pada pilihan raya akan datang. Jadi kerajaan perlu berkerja kuat dari sekarang,” katanya pada Forum Make A Change Let’a Do It Together bertajuk Berubah Lapan Belas: Antara Trend, Kematangan dan Tanggungjawab di sini hari ini.

Pada masa sama, Young Syefura berkata, dalam memastikan golongan 18 tahun mampu menggalas tanggungjawab mengundi dengan matang, penjelasan perlu diberikan di peringkat awal.

“Perkara ini berlaku baru dua hari, jadi sudah tentu mereka belum jelas mengenai tanggungjawab ini. Menjadi tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi kefahaman kepada golongan muda ini.

“Bagi saya penjelasan itu perlu diberikan sejak di peringkat sekolah lagi melalui silibus-silibus bersesuaian agar golongan muda ini lebih memahami tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada usia 18 tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berpendapat, menurunkan had umur itu juga sebagai langkah tepat apatah lagi ia telah dilaksanakan di beberapa negara maju lain.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak kata kita hanya mengikut trend semasa, Malaysia sudah jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain yang telah mulakan usaha ini sejak zaman 80-an lagi.

“Ini adalah hak anak muda di mana mereka berhak memilih dan menentukan masa depan negara,” katanya.