Mangsa langgar lari maut selepas 4 jam bertarung nyawa

Motosikal milik mangsa hanya mengalami kerosakan kecil. Gambar kecil, Ganti Jimmy.
Motosikal milik mangsa hanya mengalami kerosakan kecil. Gambar kecil, Ganti Jimmy.
A
A
A

MACHANG - Selepas lebih 4 jam bertarung nyawa, seorang remaja yang parah selepas terbabit kemalangan langgar lari di Kampung Tok Bok di sini petang semalam, menghembuskan nafas terakhir pada 10.45 malam tadi.

Mohamad Zalhasmi Azmi, 18 meninggal dunia di Hospital Machang (Hosmac) ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di kepala, susulan nahas pada jam 6.30 petang semalam.

Dalam kejadian berkenaan, Mohamad Zalhasmi yang beralamat di Kampung Labok dipercayai dilanggar dari arah belakang ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Kota Bharu-Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis SYM dari arah Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Tok Bok, di sini sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan dari arah belakang.

"Kejadian tersebut berlaku di Kilometer 33, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai (hadapan Restoran Mabrukah). Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hosmac untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia malam tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak yang terlibat kemalangan tersebut diminta tampil membuat laporan polis dengan segera," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Ganti berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut juga diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: