Liga Super: Tok Gajah dapat 'tonik'

Pemain Pahang Mohamadou Semareh (dua, kiri) dihalang pertahanan Felda United Thiago Junio De Aquino pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Pahang Mohamadou Semareh (dua, kiri) dihalang pertahanan Felda United Thiago Junio De Aquino pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN Pahang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selepas menewaskan Felda United 3-1 malam tadi, menjadi ‘tonik’ buat pasukan untuk meneruskan cabaran saingan Piala Malaysia musim ini.

Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh bagaimanapun mengakui masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya apabila beliau memperhalusi perlawanan antara Pahang dan The Fighters yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini.

"Ada masanya kita bermain dengan baik dan ada masanya seperti hilang punca...sistem permainan itu tidak kekal dan kita kelam kabut.

"Saya lihat pada separuh masa kedua, dengan kemasukan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Dickson Nwakaeme dan Mohamad Faisal Abdul Halim barulah nampak perubahan seperti yang saya inginkan.

"Kita kena betulkan banyak lagi khasnya di bahagian pertahanan yang kurang memberi sokongan kepada bahagian tengah apabila diserang oleh Felda United," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Dollah mengakui kemenangan yang membolehkan mereka dinobatkan naib juara Liga Super itu sedikit sebanyak mengubat kedukaan skuad Tok Gajah rentetan terlepas peluang merangkul Piala FA.

"Saya puas hati walaupun terluka...saya percaya para pemain sudah bagi yang terbaik dan kita boleh bawa semangat juang ini ke kempen Piala Malaysia," katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang membuka tirai jaringan menerusi Lazarus Kaimbi pada minit ke-14 sebelum The Fighter membalas pada minit 28 menerusi S. Chanturu namun Tok Gajah bangkit dengan gol kedua menerusi Herold Goulon (minit 72) sebelum Nwakaeme menjaringkan gol ketiga selang 16 minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali Felda United Nidzam Jamil berkata pasukannya akur dengan kekalahan kepada Pahang, antara pasukan elit yang berjaya mengubah corak permainan pada separuh masa kedua dengan pertukaran pemain.

"Setelah ketinggalan dua gol kita mempunyai pilihan sama ada terus menyerang atau bertahan, oleh kerana kita perlu satu mata jadi kita pilih untuk menyerang,” katanya.

Nidzam berkata kekalahan itu juga mengundang laluan berliku buat pasukan dalam usaha mengelakkan penyingkiran ke Liga Premier musim depan, memandangkan Liga Super adalah medan terbaik untuk pendedahan kepada pemain muda mereka.

"Nasib kita dalam Liga Super tidak hanya bergantung kepada perlawanan menentang Kedah yang mana kami perlu menang tetapi juga keputusan perlawanan antara PJ City dan PKNP FC,” katanya. - Bernama