Kapten, nelayan terlibat angkut ikan lumba-lumba sedang dikesan

Gambar hiasan
A
A

BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand sedang berusaha mengesan kapten dan nelayan yang terlibat mengangkut ikan lumba-lumba yang terperangkap dalam jaring ikan hingga mencetuskan bantahan dalam kalangan netizen dan saintis marin.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thai yang baru dilantik Varawut Silpa-archa berkata sebuah video menunjukkan sekumpulan nelayan yang bercakap bahasa Thai sedang mengangkat 10 ekor ikan tersebut yang terperangkap dalam jaring ke bot mereka dan kemudian melepaskannya ke laut.

Klip video lima minit yang dikirim dalam talian menunjukkan kumpulan ikan lumba-lumba terperangkap dalam jaring ikan yang dipasang untuk menangkap ikan tuna.

Bernama mendapati, video itu tidak menyatakan di mana dan bila insiden itu berlaku.

Pusat kawalan Port-in Port-out (Pipo) di Pattani di bawah Jabatan Perikanan telah melancarkan siasatan dan laporan awal mendakwa bot berkenaan milik rakyat Malaysia.

Jabatan itu berkata bot tersebut - Sor Pornthep Nawee 9 telah dijual kepada seorang rakyat Malaysia pada Jun 2017 dan beroperasi di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, ada laporan menyatakan bot itu telah bertukar milik baru-baru ini. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia