Saudi taja keluarga serangan di Christchurch tunai haji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RIYADH - Kerajaan Arab Saudi dilaporkan akan menaja seramai 200 jemaah haji terdiri daripada keluarga mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Mac lalu.

Menurut laporan Agensi Anadolu, tajaan menunaikan ibadah haji itu adalah di atas arahan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

"Perkara itu (tajaan haji) telah diumumkan Menteri Hal Ehwal Agama, Sheikh Abdullatif Abdulaziz Al-Asheikh semalam.

"Penajaan (haji) itu adalah antara usaha kerajaan Arab Saudi dalam menangani dan membasmi segala bentuk keganasan," katanya.

Menurut laporan itu lagi, Sheikh Abdullatif melalui kementeriannya sedang berurusan dengan Kedutaan Arab Saudi di New Zealand bagi memastikan semua tetamu memiliki segala yang diperlukan untuk menunaikan ibadat terbabit.

Dalam pada itu, Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA) turut melaporkan bahawa penajaan itu juga bertujuan meringankan penderitaan keluarga mangsa insiden terbabit.

Terdahulu, dalam kejadian Mac lalu, dunia dikejutkan dengan insiden tembakan di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand, yang mengakibatkan 51 orang terbunuh.

Serangan itu turut mengorbankan seorang rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, manakala tiga lagi cedera.

Artikel Berkaitan:

Serangan oleh pengganas kulit putih itu dilakukan ketika umat Islam di kedua-dua masjid itu sedang bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

Pengganas kulit putih itu mendedahkan, dia sudah merancang serangan itu sejak dua tahun lalu dan tiga bulan lalu dia memutuskan untuk menyasarkan masjid di Christchurch.