Pembangkang tetap hantar usul bahas tuduhan palsu Guan Eng di Parlimen

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - Blok pembangkang tetap akan menghantar usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md Yusof supaya laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dibahaskan di Parlimen agar tuduhan palsu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap Barisan Nasional (BN) disemak kembali.

Ketuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, tindakan Guan Eng menggunakan Dewan Rakyat sebagai tempat membuat tuduhan palsu berhubung kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah serius.

"Tuduhan merompak ini adalah tuduhan jenayah dan ia sangat serius terhadap BN.

"Blok Pembangkang kecewa dan kesal dengan keputusan Speaker yang tidak membenarkan usul yang saya bawa untuk merujuk Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas tuduhan merompak dan mengelirukan Dewan Rakyat.

"Speaker cuba mempertahankan Lim Guan Eng dan seolah-olah mempertahankan tuduhan yang mengatakan duit GST dirompak oleh kerajaan yang lepas. Lim Guan Eng seolah-olah mempunyai kekebalan di dalam parlimen. Jika di pihak pembangkang menyebut perkataan pondan pun dihalau keluar," katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya malam tadi.

Jelas Ismail Sabri lagi, keengganan Guan Eng menarik balik tuduhan palsu meskipun berulang kali diminta juga memperlihatkan pemimpin DAP itu mempunyai kekebalan di Dewan Rakyat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia