Jerman wajibkan vaksin campak kepada kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

BERLIN - Jerman bakal mewajibkan vaksin campak kepada kanak-kanak bermula pada Mac tahun depan bertujuan untuk menghapuskan penyakit yang berpotensi membawa maut itu.

Kanak-kanak di negara itu hanya akan dibenarkan mendaftar masuk ke tadika atau sekolah sekiranya telah menerima suntikan vaksin campak.

Para pekerja pusat asuhan, institusi pendidikan, fasiliti kesihatan dan pusat perlindungan pelarian juga diwajibkan mengambil vaksin berkenaan.

"Kami mahu melindungi seberapa ramai kanak-kanak yang boleh daripada jangkitan campak," kata Menteri Kesihatan, Jens Spahn.

Kegagalan melaksanakan peraturan tersebut boleh dikenakan denda sehingga 2,500 euro (RM 11,542) di bawah rang undang-undang yang dijangka mendapat kelulusan mudah dewan rendah Parlimen Jerman.

Dalam pada itu, persatuan pakar pediatrik Jerman telah lama menuntut agar vaksin diwajibkan kepada kanak-kanak bagi menentang pelbagai jenis penyakit.

Tahun lalu sejumlah 350,000 kes campak direkodkan di seluruh dunia, 543 daripadanya di Jerman. - AFP

Artikel Berkaitan: