'Jho Low perkenalkan saya kepada Najib'

A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau bertemu ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta berhubung permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk membuka akaun di Ambank.

Cheah, 72, berkata pada pertengahan Januari 2011, pada jam 7 malam, beliau dibawa menaiki kereta menuju ke kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta di sini untuk membincangkan urusan membuka akaun bank itu.

“Saya dibekalkan dengan salinan borang untuk membuka akaun bank dan permohonan kad kredit oleh Miss Joanna (Joanna Yu Ging Ping, seorang pengurus perhubungan di AmBank ). Seingat saya, kesemua borang itu adalah kosong dan tidak diisi dengan maklumat pelanggan seperti yang dikehendaki oleh bank.

“Sebaik tiba di kediaman Datuk Seri Najib, saya bertemu Encik Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, yang saya pernah jumpa sebelum ini.

“Saya kemudian dibawa masuk ke dalam rumah oleh Jho Low yang memperkenalkan saya kepada Datuk Seri Najib dan Jho Low turut memberitahu beliau bahawa saya dari AmBank. Datuk Seri Najib dan saya terus beredar ke ruang tamu manakala Jho Low saya lihat menunggu di tempat lain di rumah itu.

“Saya perjelaskan prosedur untuk membuka akaun dengan AmBank kepada Datuk Seri Najib dan beliau turut menyebut bahawa pembukaan akaun itu perlu mematuhi undang-undang serta peraturan bank itu. Saya bertanggungjawab untuk memaklumkan Bank Negara Malaysia tentang akaun yang dibuka itu kerana Datuk Seri Najib seorang ahli politik yang terkenal,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi beliau pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib, yang memasuki hari ke-39 hari ini.

Cheah berkata, beliau kemudian memberi borang kosong untuk membuka akaun bank dan permohonan kad kredit kepada Najib yang seterusnya menandatangani kesemua borang itu.

“Pertemuan saya dengan Datuk Seri Najib berlangsung kira-kira 20 minit dan apabila selesai, saya dihantar pulang.

“Keesokan harinya, saya memberi borang yang sudah ditandatangani itu kepada Miss Joanna untuk memproses urusan membuka akaun dan permohonan kad kredit bagi Datuk Seri Najib,” kata saksi ke-50 pendakwaan itu.

Terdahulu, beliau berkata AmBank mula membabitkan diri dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 semasa 1MDB menjadi pelanggan korporat AmBank.

Kata Cheah, beliau sendiri terbabit dengan akaun bank peribadi Najib pada akhir 2010.

“Pada awal Januari 2011, semasa saya bekerja di Ibu Pejabat AmBank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, saya didatangi Miss Joanna Yu Ging Ping, seorang pengurus perhubungan di AmBank, yang memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, menyuarakan hasrat untuk membuka akaun simpanan dan akaun semasa dengan AmBank.

“Saya kemudian berjumpa Pengerusi AmBank Tan Sri Azman Hashim di pejabatnya, untuk membincangkan hasrat Datuk Seri Najib untuk membuka akaun berkenaan. Tan Sri Azman mengarahkan saya supaya menguruskan perkara itu.

“Saya selepas itu menghubungi Allahyarham Datuk Azlin Alias yang ketika itu merupakan Pegawai Khas Datuk Seri Najib untuk bertanyakan kepadanya bila dan di mana saya boleh berjumpa Datuk Seri Najib.

“Saya menghubungi Datuk Azlin Alias kerana saya mengenali beliau sejak 2009 dan saya tahu beliau adalah Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Cheah berkata, selepas berjumpa Najib di rumahnya, beliau seterusnya membuat janji temu untuk berjumpa Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Dalam keterangannya itu, beliau berkata beberapa hari kemudian, beliau berjumpa Zeti di pejabatnya dan memaklumkan kepada Zeti tentang hasrat Najib untuk membuka akaun dengan AmBank.

“Tan Sri Zeti memberitahu saya beliau tiada bantahan untuk AmBank berbuat demikian, tetapi mengingatkan bahawa pembukaan akaun terbabit perlu dibuat berlandaskan undang-undang dan peraturan perbankan.

“Saya merujuk kepada borang untuk membuka akaun semasa yang tertera nama dan tandatangan Mohd Najib Tun Abdul Razak bertarikh 13 Januari 2011.

“Jenis akaun yang dibuka adalah akaun semasa dengan nombor akaun 211-202-200969-4. Saya cam borang untuk membuka akaun semasa ini dan mengesahkan ia adalah borang yang dirujuk itu. Saya merujuk kepada borang permohonan kad kredit tertera nama dan tandatangan Mohd Najib bin Tun Abdul Razak bertarikh 13 Januari 2011,” katanya.

Cheah juga berkata, dua kad kredit diluluskan atas nama Datuk Seri Mohd Najib iaitu kad Visa Platinum bernombor 4585818000005496 dan kad MasterCard Platinum bernombor 5289438000038961.

“Saya cam borang permohonan kad kredit ini dan mengesahkan ia adalah borang yang dirujuk. Mengenai kod nama ‘AmPrivate Banking-MR’ yang digunakan bagi akaun semasa yang dinyatakan itu, kod nama ini dikhaskan bagi akaun semasa Datuk Seri Najib.

“Saya diberitahu oleh Miss Joanna bahawa alasan bagi kod nama itu berdasarkan pertanyaan Jho Low yang meminta supaya akaun itu dikendalikan dengan penuh rahsia.

“Saya tidak pasti siapa yang memutuskan kod nama tepat untuk digunakan bagi akaun ini. Saya hanya tahu terdapat perbincangan untuk menggunakan kod nama bagi perlindungan maklumat dan mengekalkan sensitiviti. Saya seterusnya memaklumkan kepada Gabenor Bank Negara berhubung perkara ini.

“Selepas membuka akaun itu, saya biasanya diberitahu perkembangan terkini oleh Miss Joanna dan pasukannya yang bertindak sebagai pengurus perhubungan bagi akaun terbabit. Seingat saya, terdapat banyak transaksi bagi akaun yang dinyatakan itu tetapi saya tidak menyimpan rekodnya,” katanya.

Saksi itu berkata, tidak lama selepas itu, beliau tidak lagi dimaklumkan tentang apa-apa tindakan selanjutnya yang diambil berhubung akaun peribadi Najib kerana beliau telahpun bersara daripada AmBank pada April 2012.

Cheah juga berkata, beliau dilantik sebagai anggota panel Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) buat kali pertama pada 2007, bagaimanapun beliau berehat selama setahun disebabkan masalah kesihatan.

Katanya sebaik sahaja sembuh, beliau dilantik semula sebagai anggota Panel Pelaburan KWAP sehingga sekarang.

“Mengenai permohonan SRC bagi tambahan tempoh pembiayaan pinjaman berjumlah RM2 bilion juga, saya tidak menghadiri mesyuarat Panel Pelaburan KWAP yang membincangkan tentang kertas cadangan itu.

“Saya hanya dimaklumkan selepas itu bahawa KWAP telah meluluskan pinjaman tambahan sebanyak RM2 bilion lagi kepada SRC oleh sebab satu lagi Jaminan Kerajaan turut disediakan bagi pinjaman tambahan itu.

“Dalam pengalaman saya sebagai anggota Panel Pelaburan KWAP, dua pinjaman berasingan ini yang diberi kepada SRC keseluruhannya berjumlah RM4 bilion adalah satu daripada pinjaman terbesar yang pernah dipersetujui dan diluluskan oleh KWAP,” katanya.

Selepas saksi selesai membacakan pernyataan saksinya, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim bertanya sama ada beliau boleh mengecam Najib, Cheah menjawab “Ya” dan melihat ke arah Najib yang duduk di dalam kandang tertuduh.

Ditanya sekali lagi sama ada beliau boleh mengecam Jho Low, sekiranya pihak pendakwaan menunjukkan kepadanya gambar Jho Low, saksi itu berkata “Ya”.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama