Warga ATM kumpul dana bantu kos pembedahan Mohd Afif Irfan

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyerahkan sumbangan dana yang dikumpul bagi membiayai kos rawatan Mohd Afif Irfan kepada Pegawai Waran Dua, Abdullah Yaakub.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyerahkan sumbangan dana yang dikumpul bagi membiayai kos rawatan Mohd Afif Irfan kepada Pegawai Waran Dua, Abdullah Yaakub.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mengumpul dana RM56,407 bagi membiayai kos pembedahan hati Mohd Afif Irfan Abdullah di Max Super Specialty Hospital, Saket, New Delhi, India.

Sumbangan itu disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin bersama Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi kepada bapa Mohd Afif Irfan iaitu Pegawai Waran Dua, Abdullah Yaakub.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Mohd Afif Irfan yang kini berusia setahun dua bulan merupakan anak kedua kepada Abdullah yang bertugas di 74 Workshop Divisyen berpangkalan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Anaknya menghidap penyakit Billiary Attresia atau penyakit hati kronik telah menerima rawatan awal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan namun telah dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

"Bagaimanapun, melalui pemeriksaan lanjut oleh pihak PPUM dan mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengalami beberapa komplikasi organ hati yang memerlukan pembedahan segera di luar negara yang melibatkan kos pembedahan berjumlah RM160,000," katanya.

Pada majlis tersebut, Panglima Angkatan Tentera mewakili semua warga ATM telah menyalurkan sumbangan itu yang merupakan hasil usaha murni serta kesungguhan organisasi berkenaan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan.

Di samping itu, terdapat juga sumbangan yang telah diterima daripada pelbagai pertubuhan dan orang awam yang prihatin membantu Mohd Afif Irfan berkenaan.

Dengan bantuan tersebut, Mohd Afif Irfan dan keluarganya akan membuat penerbangan ke New Delhi pada 24 Julai 2019 ini.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya semua sumbangan ini terutama di kalangan warga ATM merupakan tanda sokongan di antara satu sama lain sepertimana nilai semangat persahabatan dan kekeluargaan di samping semangat berpasukan yang dibentuk dalam diri setiap lapisan warga ATM.

"Organisasi ini juga amat menitikberatkan kebajikan setiap anggota dan keluarga mereka bagi mencapai kualiti hidup terbaik sebagai sokongan moral kepada setiap warganya yang sentiasa berkorban dan menyumbang khidmat bakti untuk negara," katanya.