Di mana ibu kandung Amin?

JKM mohon bantuan orang ramai bantu cari ibu kandung Amin.
JKM mohon bantuan orang ramai bantu cari ibu kandung Amin.
A
A
A

PETALING JAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya memohon bantuan orang ramai mengesan ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang ditinggalkan kepada seorang pemilik taska di Puchong 13 Jun lalu.

Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Cawangan Subang Jaya, Mohd Hazril Mohd Kodri berkata, kanak-kanak hanya dikenali sebagai Amin itu dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-kanak Petaling Jaya pada 4 Julai lalu kerana menjadi mangsa pengabaian oleh ibu kandung.

Menurutnya, hasil siasatan awal kanak-kanak itu didakwa ditinggalkan ibu kandungnya kepada seorang pemilik taska di Puchong tanpa sebarang dokumen kelahiran.

“Ibu kandung kemudiannya terus beredar selepas menyerahkan kanak-kanak dan tidak dapat dihubungi hingga kini. Pemilik taska itu mengambil keputusan menjaga Amin buat sementara waktu dengan harapan ibu kandung kanak-kanak itu kembali mengambil anaknya.

“Namun wanita itu tidak muncul hinggalah pemilik taska mengambil keputusan membawa kanak-kanak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 Jun untuk tujuan pemeriksaan kesihatan dan tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Sehubungan dengan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris Amin boleh menghubungi Mohd Hazril di talian 0356343095.

Artikel Berkaitan: