MBM mahu pendaftaran automatik diperkemaskan

Jufitri
Jufitri
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu sistem pendaftaran pengundi automatik dilaksanakan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pendaftaran perlu dilaksanakan kepada semua pengundi termasuk yang masih tidak berdaftar.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, pihaknya juga mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengaplikasi kaedah pembatalan pengundi secara automatik bagi yang telah meninggal dunia.

“SPR perlu membuat persempadanan semula terhadap semua kawasan Parlimen khususnya kawasan-kawasan bandar agar tidak berlakunya kepadatan dan ketidakseimbangan antara bandar dan luar bandar memandangkan ramai belia yang telah berhijrah ke bandar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut memuji kerajaan terutama Menteri Belia dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pembangkang atas kesepakatan meluluskan RUU terbabit.

Katanya, parti politik juga diminta memberi ruang dan mempersiapkan lebih ramai calon-calon muda pada pilihan raya akan datang sebagai refleksi kepada pindaan ini.

“Ia juga selaras dengan kempen global yang didokong oleh MBM iaitu #NotTooYoungToRun. Pertubuhan masyarakat madani (NGO) dan parti politik memperbanyakkan model-model sekolah politik bagi mendidik anak muda dengan pendidikan sivil, demokrasi dan kewarganegaraan.

“MBM telah pun menubuhkan Sekolah Politik MBM bagi memainkan peranan ini dan MBM akan melancarkan semula Sekolah Politik MBM 2.0 dalam waktu terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jufitri berkata, MBM akan terus memainkan peranan mendidik anak muda khusus dalam aspek partisipasi belia dalam ruang demokrasi dan akan terus membantu kerajaan bagi menjayakan agenda penting ini.

“Pihak guru dan pensyarah juga menjadi pendidik formal manakala pekerja belia sebagai pendidik tidak formal meningkatkan kaedah serta sistem mentoring yang berkesan bagi membimbing belia lingkungan umur 15 hingga 24 tahun dalam aspek kehidupan, memilih pendidikan dan kerjaya termasuk memilih pemimpin

“Justeru, kita mahu anak muda merebut peluang dengan mempersiapkan diri meningkatkan ilmu dan kemahiran berkaitan demokrasi bagi mempercepatkan proses kematangan untuk menentukan masa depan negara dengan memilih pemimpin,” katanya.