Bekas CEO nafi dapat arahan Jho Low pindah RM42 juta ke akaun Najib

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pendakwaan ke-49 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa beliau mendapatkan arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berhubung permindahan RM42 juta daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) ke dua akaun AmBank milik bekas Perdana Menteri itu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, 51, berkata demikian semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada perbicaraan hari ke-39, membabitkan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa kamu, Joanna Yu, Terrance Geh Choh Heng mendapatkan arahan daripada Jho Low? Ung menjawab: "Tidak".

ARTIKEL BERKAITAN: Berita RM42 juta ke akaun Najib rosakkan reputasinya, kata saksi

Harvinderjit menyoal beliau sama ada perkataan 'kawan kita' dalam catatan perbualan antara beliau dan Joanna (Pengurus Perhubungan Ambank) pada Februari 2015, merujuk kepada Jho Low.

Perbualan berkenaan berhubung pemindahan RM10 juta daripada IPSB ke akaun Najib yang nombornya berakhir dengan 880.

Terdahulu beliau menafikan dakwaan Harvinderjit bahawa catatan perbualan antara beliau dan Joanna adalah bagi pemindahan RM27 juta dan RM5 juta daripada IPSB kepada akaun Najib berakhir dengan nombor 880 dan 906 pada Disember 2014, merujuk kepada Jho Low, yang dirujuk untuk arahan.

IPSB dilantik untuk mengendalikan program tanggungjawab sosial untuk YR1M.

Artikel Berkaitan:

Harvinderjit: Adakah anda tahu Dennis See, sepupu anda yang bekerja dengan 1MDB, mengutip cek daripada IPSB untuk Jho Low? Ung menjawab: "Saya tidak tahu".

Harvinderjit: Adakah anda bersetuju bahawa cek Dennis ditunaikan untuk Jho Low? Ung menjawab: "Tidak bersetuju...saya tidak tahu apa yang terjadi dengan cek berkenaan."

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang arahan pemindahan dana daripada bekas setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias (telah meninggal dunia).

Harvinderjit: Pada Disember, anda tahu RM40 juta akan dipindahkan ke IPSB sebelum dapat melakukan tugas anda. Tahukah anda dari mana datangnya wang itu? Ung menjawab: "Tidak".

Harvinderjit: Anda tidak tahu mengenai sumber dana? Ung: "Ya".

Harvinderjit: Anda tahu Terrance dan Nik Faisal Ariff Kamil bekerja dengan Jho Low. Saya cadangkan, anda mendapat arahan daripada Jho Low? Saksi menjawab: "Tidak, tidak, tidak".

Harvinderjit: Anda tidak tahu akaun itu milik Najib?

Ung: Tidak. Saya tidak nampak apa-apa dengan namanya (Najib).

Harvinderjit: Anda tidak mempunyai bukti lain bahawa arahan anda datang daripada Azlin selain mesej WhatsApp? Ung menjawab: "Tidak".

Beliau turut tidak bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa beliau menyebut nama Azlin kerana beliau telah meninggal dunia.

Harvinderjit menyatakan rasa tidak puas hati dengan mengatakan bahawa saksi bersifat mengelak dalam jawapannya.

"Anda mengelak soalan saya dan tidak menjawab soalan saya dengan betul," katanya.

Saksi itu kemudiannya menjawab bahawa soalan yang ditanya Harvinderjit lebih kepada interpretasinya sendiri.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama