Projek LRT: Pulau Pinang sedia patuh semua syarat kementerian

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menghargai kelulusan bersyarat dari Kerajaan Pusat berhubung permohonannya berhubung Skim Kereta Api Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan menunggu surat rasmi daripada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan seterusnya termasuk pelaksanaan pameran awam berhubung projek tersebut.

Menurutnya, Pulau Pinang komited untuk mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memberi kelulusan bersyarat kepada Skim Kereta Api Projek LRT bagi jajaran Komtar ke Bayan Lepas.

"Kita mengalu-alukan kenyataan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengumumkan kelulusan bersyarat Skim Kereta Api Projek LRT Bayan Lepas di bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)," katanya menerusi kenyataan medianya tadi.

Terdahulu, dalam kenyataan medianya, Anthony Loke mengumumkan kelulusan bersyarat projek tersebut selepas pertimbangan teliti dan menyeluruh permohonan dari Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang.

Anthony Loke berkata, skim itu diluluskan pada hari ini, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut peruntukan mengikut Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Projek LRT yang merupakan salah satu komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Kerajaan Pulau Pinang telah memohon kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk laluan LRT dari Bayan Lepas ke Georgetown sejak 2016.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa LRT berkemungkinan bukan pilihan terbaik sebagai salah satu pengangkutan awam di Pulau Pinang.

Menurut kementerian itu lagi, dari kajian yang dibuat, ia menunjukkan bahawa LRT tidak sesuai dan kementerian telah mencadangkan pilihan pengangkutan awam lain yang lebih sesuai dengan negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: LRT Pulau Pinang bermula tahun hadapan