Gagal seludup keluar 260 ekor burung Murai Batu

Antara burung Murai Batu yang ditemui di R&R Layang, awal pagi semalam.- Foto Perhilitan Johor.
Antara burung Murai Batu yang ditemui di R&R Layang, awal pagi semalam.- Foto Perhilitan Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Layang dikesan menjadi transit penyeludupan burung Murai Batu yang merupakan spesis dilindungi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, 260 ekor burung itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran menggunakan jalan laut.

Menurutnya, awal pagi semalam kira-kira jam 2 pagi pihaknya telah menemui sebanyak 260 ekor burung Murai Batu yang telah siap sedia untuk dipindahkan kepada penyeludup sebelum dihantar menggunakan jalan laut ke negara jiran.

"Tiada tangkapan dibuat kerana penyeludup berjaya melarikan diri sebelum pasukan sampai di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Salman, pihaknya percaya R&R arah Bandar Penawar itu dijadikan kawasan penyerahan spesis tersebut susulan banyak laluan alternatif

"Kawasan R&R Layang menghala ke Bandar Penawar itu telah dijadikan kawasan penyerahan hidupan liar tersebut.

"Dipercayai penyeludup memilih lokasi ini kerana kawasan tersebut mempunyai banyak laluan keluar alternatif untuk elak ditangkap," katanya.

Murai Batu merupakan spesis yang mendapat permintaan yang tinggi di negara jiran yang boleh dijual antara RM1,000-RM2,000 seekor bergantung kepada kecantikan serta kemerduan suaranya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyeru orang ramai membantu pihaknya dengan menyalurkan maklumat bagi mencecah kegiatan seumpama ini.

Mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.