Pakar Fizik tak tolak dapatan Adib terhentak pada daun pintu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Fizik tidak menolak dapatan bahawa anggota bomba dan penyelamat (JBPM) Muhammad Adib Mohd Kassim terhentak pada daun pintu semasa van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) isedang mengundur.

Dr Amir Radzi Abdul Ghani berkata, kelajuan van EMRS dalam keadaan mengundur adalah pada kadar 10KM/j.

"Seseorang masih boleh mengejar van itu pada kelajuan tersebut," katanya.

Risiko kecederaan yang dihadapinya adalah tinggi sekiranya anggota bomba dan penyelamat (JBPM) Muhammad Adib Mohd Kassim berada dalam kedudukan statik ketika insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November lalu.

Sebaliknya beliau berkata, jika Muhammad Adib dalam keadaan bergerak, daya hentakan terhasil adalah lebih rendah.

"Pergerakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) akan menghasilkan daya walaupun mangsa berdiri dalam kes statik," katanya menjawab soalan Pegawai Pengendali Kes, Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman.

Dr Amir Radzi yang juga Pensyarah Kanan Fakukti Kejuruteraan Mekanikal UiTM berkata, tendangan dan tumbukan boleh menghasilkan daya yang kuat.

"Dari aspek kejuruteraan, aksi menendang dengan satu kaki dan satu lagi kaki statik menegak, pecahan daya akan berkurangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, sekiranya ‘flying kick’, aksi tersebut memerlukan keseluruhan tenaga.

"Begitu juga dengan tumbukan. Ia bergantung kepada teknik kerana daya datang dari tangan dan bahu,” katanya.

Sebelum ini, saksi Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur memberi keterangan bahawa Muhammad Adib keluar sendiri dari van berkenaan sebelum terlanggar pintu van EMRS lalu terhentak di permukaan yang kasar, luas dan menonjol.

Bagaimanapun saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid berkata, pintu van EMRS ditendang oleh penyerang dan mangsa ditarik keluar dari kenderaan tersebut.

Prosiding perbicaraan hari ke-41 yang berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan untuk Rofiah memutuskan samada perlu dipanggil saksi pakar lain atau menutup perbicaraan inkuri tersebut.

Pada 4 Julai lalu, Pegawai Pengendali prosiding inkues kematian Muhammad Adib, Faten Hadni Khairuddin mencadangkan seorang lagi pakar patologi berikutan adanya dapatan berbeza dari dua pakar.

Sehingga kini, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan.

Muhammad Adib,24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.