Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih: Anwar

A
A

1. Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih: Anwar

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu meletakkan jawatan sekiranya sahih beliau adalah pelaku dalam video intim yang didakwa miripnya dibuktikan benar, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar berkata, cadangan melepaskan jawatan Azmin itu bergantung kepada prosedur siasatan kes video intim tersebut.

Sehingga ke hari ini kata Anwar, PKR yang sudah pun melakukan siasatan dalaman terhadap video itu gagal menemui siapa dalang di sebalik video tersebut.

Kata Anwar, isu video berkenaan turut memberi kesan kepada parti kerana Azmin seorang menteri.

2. Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet sahkan hutang negara RM1.1 trilion

Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM1.1 trilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, pecahan itu termasuk RM741 bilion hutang kerajaan Persekutuan, RM132.7 bilion membabitkan jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan, RM32.2 bilion hutang bersih 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak termasuk faedah dan liabiliti lain berjumlah RM184.9 bilion.

Beliau berkata pelaporan hutang dan liabiliti di bawah manual ini bukan sahaja merangkumi hutang kerajaan Persekutuan, malah liabiliti bagi entiti berkaitan kerajaan dan liabiliti luar jangka meliputi pinjaman yang dijamin oleh kerajaan.

3. Terpulang untuk bercuti atau teruskan tugas: Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada mana-mana pemimpin untuk bercuti atau meneruskan tugas selagi belum dibuktikan bersalah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang meminta agar mana-mana pemimpin yang didakwa terbabit dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.

Shamsul dalam kenyataan media sebelum ini dilaporkan berkata tindakan itu penting bagi memberi ruang siasatan dijalankan sepenuhnya dengan bebas dan adil.

4. Pemuda UMNO desak Guan Eng letak jawatan: Asyraf Wajdi

Pemuda UMNO dengan tegas menggesa dan mendesak Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan mendakwa beliau punca utama kemudaratan besar kepada ekonomi negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ‘sandiwara’ Ahli Parlimen Bagan itu mengenai rompakan dan kehilangan wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion tidak boleh dipandang ringan.

Tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini, itu bukanlah kali pertama Guan Eng menipu rakyat kerana sebelum ini beliau mendakwa hutang negara mencecah RM1 trilion sehingga memudaratkan ekonomi negara.

5. TMJ, Che Puan Khaleeda sambut putera kedua, cahaya mata ketiga

Keluarga Diraja Johor, terutama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini menerima perkhabaran gembira apabila Che’ Puan Khaleeda Bustamam selamat melahirkan putera kedua mereka, iaitu cahaya mata ketiga awal pagi tadi.

Khabar gembira itu dikongsi Tunku Ismail di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.

Pasangan diraja yang disatukan pada 2014 sebelum ini dikurniakan puteri dan putera iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah serta Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia