Penstrukturan pegawai pendidikan perlu diperhalusi

Effandi
Effandi
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri berharap Kementerian Pendidikan perhalusi kaedah penstrukturan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Gred DG42 ke bawah

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad berkata, pegawai yang berusia 55 tahun ke atas dilihat tidak sesuai untuk bertukar jawatan sebagai tenaga pengajar di sekolah dah seharusnya diberikan pengecualian pertukaran.

Menurutnya, pihaknya bimbang penstrukturan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pada Disember depan akan memberikan impak negatif, bukan sahaja kepada individu terlibat, malah tidak mustahil kepada kecemerlangan prestasi sekolah.

"Jika pegawai Gred DG42 dan ke bawah itu dipindahkan untuk mengajar, ia akan menjejaskan motivasi mereka selain semangat ketidaksediaan untuk mengajar kerana majoriti mereka telah meninggalkan dunia pengajaran lebih 10 tahun dan hampir bersara.

"Apa yang kita risaukan, ia akan memberi kesan pada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), mungkin juga akan menimbulkan pelbagai isu hingga boleh mengganggu sistem pendidikan negara," katanya.

Effandi berkata demikian kepada pemberita di luar dewan selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Katanya, walaupun pelaksanaan berkenaan tidak membabitkan jumlah yang ramai iaitu sekitar 10 peratus daripada 500 pegawai yang berkhidmat di JPN serta tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Melaka, namun ia perlu diberikan perhatian.

Effandi yang juga Adun Telok Mas berkata, kerajaan negeri bagaimanapun menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan penstrukturan semula PPPM bagi memastikan kualiti pendidikan terjamin dan dapat diperkasakan.

Artikel Berkaitan:

"Namun, kita harap golongan hampir bersara ini tidak diabaikan dan dikekalkan dengan jawatan mereka yang sedia ada," katanya.