Fesyen hype jejaka nuansa terang

Beberapa jenama besar seperti Louis Vuitton, Versace keluar daripada kepompong palet maskulin

RUMAH fesyen Neil Barrett menampilkan koleksi fesyen lelaki yang kontemporari dan lebih edgy.
RUMAH fesyen Neil Barrett menampilkan koleksi fesyen lelaki yang kontemporari dan lebih edgy.
A
A
A

SEKITAR bulan lalu, pentas peragaan Eropah bagaikan taman bunga dihiasi pelangi selepas hujan.

Barisan model jejaka yang muncul dari belakang pentas segak mengatur langkah dalam persalinan pakaian berwarna-warni selari dengan tema musim bunga dan panas.

Penampilan mereka tampak hype dan funky.

Berbeza daripada kebiasaan, mereka menyarungkan busana jenama terkemuka berasaskan nuansa terang seperti merah jambu, kuning, hijau, jingga, biru, pic, coklat dan kuning.

Permainan rona tersebut bagaikan mengajak golongan jejaka keluar daripada ‘kepompong’ palet maskulin antaranya hitam, kelabu, biru gelap dan cappuccino (coklat gelap).

Siapa kata lelaki tidak sesuai bergaya dalam warna yang sering dikaitkan dengan golongan wanita? Buktinya, lihat sahaja kreativiti jenama Louis Vuitton yang memilih pemain pertahanan pasukan bola sepak Arsenal, Hector Bellerin memperagakan koleksi musim bunga dan panas 2020.

Bellerin berusia 24 tahun yang sedang bercuti panjang dek kecederaan pada bahagian lutut kelihatan segak memakai pakaian baju panas dan seluar pendek rona merah jambu terang.

Sementara itu, rumah fesyen Versace pula menghamparkan koleksi pakaian konsep ranggi yang menggabungkan variasi warna dalam satu rekaan pada pertunjukan fesyen di Milan, Itali.

Artikel Berkaitan:

Bertambah menarik, rambut barisan model turut diwarnakan sebagai simbolik kehangatan musim bunga dan panas.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan pertunjukan fesyen Off White yang mana model popular, Gigi Hadid tampil beraksi di atas pentas dikelilingi model lelaki dan bunga carnation.

Rekaan pakaian berasaskan rona putih itu menggabungkan cetakan konsep lukisan berwarna-warni pada jaket oversized, seluar, kot trenc dan baju-T.