Mydin, KK Super Mart bantu promosi Skim Peduli Kesihatan

Ahimmat (kiri), Ab Latiff (tengah) dan Dr KK Chai bergambar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman sebagai Rakan Promosi PeKa B40 di sini semalam.
A
A

PROTECTHEALTH Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menjalin kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) bagi mempromosi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenal Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Ab Latiff Abu Bakar berkata, sebagai rakan promosi, kedua-duanya akan membantu mempromosi PeKa B40 melalui medium tersedia di premis dan cawangan pasar raya itu di seluruh negara.

Menurutnya antara medium promosi digunakan termasuk pengedaran poster, risalah dan pengiklanan di platform digital seperti Point of Sales (POS) System di kaunter pembayaran.

“Mydin dan KK Super Mart bersetuju terlibat dalam aktiviti promosi PeKa B40 selepas melihat objektifnya yang dapat memberi kebaikan kepada rakyat sekaligus bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Dua organisasi ini akan ikut serta dan bantu program kolaboratif akan datang yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman sebagai Rakan Promosi PeKa B40 di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad, Ahimmat Mydin dan Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai.

Terdahulu, Ab Latiff berkata, PeKa B40 yang merupakan inisiatif KKM untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah mendapat kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dalam mempromosikannya.

Ia termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kewangan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Katanya, ProtectHealth yang ditubuhkan di bawah KKM mengalu-alukan penglibatan pihak lain yang ingin turut serta menjadi Rakan Promosi PeKa B40 supaya maklumat inisiatif kerajaan dapat disalurkan secara meluas.

Dalam pada itu beliau berkata, lebih 30,000 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) termasuk golongan berusia 50 ke atas telah menjalani saringan kesihatan di bawah PeKa B40 sehingga 16 Julai lalu.

“Sebanyak 1,195 klinik swasta dan 844 klinik kesihatan KKM tersedia menjalankan saringan kesihatan di seluruh negara,” katanya.