Isu kuil: Presiden Persatuan India Malaysia didakwa

rusuhan
A
A

PETALING JAYA - Presiden Persatuan India Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan dengan insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ Disember lalu.

M Manimaran bagaimanapun mengaku tidak bersalah menghalang tugas penjawat awam, Inspektor Mohammad Nazmi Zulkafli, Sarjan Mohamad Faiz Abdul Rahim dan Korporal Ahmad Zamzam Mat daripada melakukan tugas dan fungsi mereka.

Dia juga mengaku tidak bersalah melakukan rusuhan bersama-sama dengan 50 orang lagi yang masih bebas bagi menghalang laluan kereta peronda polis untuk keluar daripada kawasan kuil tersebut.

Manimaran, 38, turut mengaku tidak bersalah dalam mencapai niat bersama dengan mendatangkan kecederaan parah terhadap orang awam, Sulaiman Abdullah.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan kuil tersebut jam 12.30 tengah hari dan 1.30 petang pada 26 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 147 dan Seksyen 325 kanun sama.

Zhafran mencadangkan RM10,000 sebagai jaminan.

Peguam John Das yang mewakili lelaki itu memohon jaminan rendah.

Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membenarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin selain diperintah melaporkan diri ke balai setiap bulan serta passport ditahan di mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Disempurnakan sebagai sebutan semula kes.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia