Laporan audit RMMK ada kekeliruan: Mohd Amar

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memaklumkan terdapat kekeliruan berhubung laporan pembinaan 5,000 unit Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) dalam tempoh 2014 hingga 2018 yang dilaporkan tidak mencapai sasaran menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, pihaknya telah mencapai sasaran ditetapkan sambil memberitahu kekeliruan berlaku berikutan konsep pelaksanaan pembinaan RMMK berbeza dengan pemahaman LKAN.

“Konsep kita ialah RMMK ini bukan semestinya dibina kerajaan atau agensi kerajaan tetapi mana-mana pihak yang membina rumah mampu milik di Kelantan kita anggap sebahagian daripada program yang kita buat.

“Cuma kita ada agensi yang akan mengepalai iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan PMBK. Maka ia tidak bermakna bila kita letak sasaran 5,000, semua mesti dibuat kerajaan (negeri). Perkara ini telah dijelaskan sejak dulu lagi.

“Apa yang dibuat kerajaan, agensi dan pihak-pihak berkaitan sudah mencapai sasaran 5,000 tersebut termasuklah yang terbarunya di Jalan Kelocor. Itu mungkin perlu diperbetulkan,” katanya kepada media pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jabatan Audit Negara pada 15 Julai lalu menegur tiga agensi di bawah Kerajaan Kelantan iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang menguruskan RMMK, Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan (Pengurusan Skim Bantuan Am Al-Musa’adah) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK Sawit Sdn Bhd).

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri bagaimanapun menghormati teguran berkenaan yang disifatkan penting untuk memperbaiki kelemahan bagi mendapatkan prestasi lebih baik selepas ini.

Sementara itu, ditanya berhubung penurunan umur mengundi kepada 18 tahun, Mohd Amar berkata, ia akan membuka ruang baharu kepada anak-anak muda untuk mempelopori bidang politik selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun menjelaskan, usaha menarik minat dan sokongan semakin mencabar tambahan pula belia berumur 18 tahun itu sentiasa terdedah dengan pelbagai maklumat melalui teknologi terkini iaitu media sosial dan sebagainya.

“Kita kena lebihkan lagi usaha itu dan membuat penerangan melalui medium yang menjadi pilihan mereka.

"Program politik juga sentiasa bergerak melalui Pemuda Pas, Unit Amal dan sebagainya,” katanya.