Inovasi pragmatik anggota bomba

SEMAKAN peralatan pengujian perlu dilakukan Pegawai Kajian Cawangan Pepasangan Keselamatan Kebakaran PUSPEK, Penguasa Kanan Bomba II, Jasni Ali sebelum prosedur dijalankan di makmal.
SEMAKAN peralatan pengujian perlu dilakukan Pegawai Kajian Cawangan Pepasangan Keselamatan Kebakaran PUSPEK, Penguasa Kanan Bomba II, Jasni Ali sebelum prosedur dijalankan di makmal.
A
A
A

TEKNOLOGI inovasi kebombaan kini sudah melangkah lebih maju ke hadapan.

Barangkali ramai yang tidak tahu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara konsisten mewujudkan pelbagai produk dengan penganjuran pertandingan bermula daripada peringkat balai hingga ke antarabangsa.

Berdasarkan rekod, lebih 10 projek inovasi inovasi dipertandingkan pasukan beruniform itu setiap tahun.

Sebahagiannya mempunyai nilai komersial yang cukup tinggi.

Tidak terhenti setakat di situ, semua projek-projek berkenaan telah diberi nilai tambah apabila dikaji dengan lebih terperinci di Pusat Penyelidikan Kebombaan (Puspek), JBPM yang beroperasi sejak 2014 lalu.

Baru-baru, e-Trend telah dipelawa secara eksklusif oleh pihak JBPM untuk mengenali dan mendasari secara dekat teknologi-teknologi yang dihasilkan di Puspek yang berpangkalan di Lengkuk Teknologi Kawasan Perindustrian Bandar Enstek, Nilai Negeri Sembilan.

Kepada kru e-Trend, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM, Datuk Yusof Sidek berkata, Puspek antara lain melaksanakan penyelidikan sains, teknologi dan inovasi kebombaan secara profesional bagi meningkatkan kecekapan bomba dan industri kebombaan.

"Di Puspek, kajian terperinci dilaksanakan pakar terhadap operasi pemadaman kebakaran, penyelamatan, pemasangan keselamatan dan fire behaviour.

"Semua kajian itu penting bagi memastikan penyelidikan keberkesanan pengendalian bencana, taktik operasi penyelamatan yang baharu selain keberkesanan penyelamatan untuk bencana industri dan bencana alam," katanya dalam pertemuan eksklusif itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Yusof berkata, segala infrastruktur yang terdapat di pusat berkenaan menggunakan teknologi pengujian canggih yang memenuhi keperluan industri dengan caj minimum dikenakan RM3,000.

"Tidak lupa juga inovasi luar kotak yang dibawa pasukan bomba cukup membanggakan sehingga ada yang sudah dipatenkan untuk dikomersialkan," katanya.

Yusof menambah daripada 10 projek inovasi berkenaan, sembilan masih lagi dalam bentuk prototaip.

Ia terdiri daripada:

1. ProSix Power Hook

2. Forest Fire G.S Mark Two

3. Hydrant Adaptor I.B Mark II

4. Flexygot

5. Propeller Protector

6. Ignis Rescue Raft

7. Disposable Cervical Collar

8. Smart Lifting

9. Multipurpose Tool

Sementara, tiga inovasi hebat lain cetusan JPBM telah dipericikan secara khusus kepada e-Trend. Teknologi baharu itu dilihat memberi banyak manfaat kepada pengguna dalam tugas menyelamat:

a. Smart LPG Leakage Detector

Hanya menggunakan soket di rumah, pengguna boleh mengesan kebocoran gas hanya melalui notifikasi telefon pintar. Ia merupakan rekaan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) Utara Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dengan kerjasama Crestronics (M) Sdn Bhd dan Jetfil Manufacturing Sdn Bhd.

Alat pengesan gas yang dipatenkan dengan nama g-Naret Smart Gas Detector menjadi pilihan produk pertandingan KIK di peringkat kebangsaan 2017 lalu.

Ia diperluaskan lagi pada tahun 2018 bersama Jetfil Manufacturing Sdn Bhd. Menariknya, peranti pemantauan pintar automatik itu berupaya mengesan kebocoran gas LPG yang bersensitiviti tinggi.

Apabila kebocoran gas LPG (propana) berlaku, ia akan bertindak secara automatik untuk mengeluarkan isyarat amaran penggera.

Peranti pintar berkenaan juga boleh memantau tahap berbahaya kepekatan gas dan memberitahu pengguna melalui telefon bimbit. Terdapat juga aplikasi yang boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play.

Untuk melihat lebih dekat, teknologi itu akan dilancarkan pada 20 Julai ini sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2019.

b. Tuah Ring Cutter

Mungkin disebabkan menerima banyak laporan mengenai kes anu tersepit ‘cincin’, Kumpulan Bara Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur terdetik mencipta satu inovasi yang cukup praktikal.

Daripada nama sebelumnya iaitu Tuah Ring Cutter, prototaip yang dijenamakan semula menjadi Smart Box Cutter itu dikemaskini dengan penambahan ciri baharu iaitu aliran air yang boleh mengurangkan kesakitan.

Inovasi luar kotak yang masih dalam proses kajian untuk penambahbaikan dan pengkomersialan itu, cukup membantu pasukan bomba menyelesaikan kes-kes yang berlaku.

Apa tidaknya, tugas pasukan bomba masa kini bukannya hanya tertumpu untuk operasi kebakaran semata-mata, tetapi lebih mencabar dengan kes cincin tersepit.

Menurut statistik JBPM, Kuala Lumpur yang dipetik melalui laporan akhbar kompak Sinar Harian, sebanyak 40 kes bantuan pemotongan cincin tersekat pada kemaluan diterima sepanjang empat tahun sejak tahun 2014 hingga suku pertama 2017.

Pada tahun 2014, sebanyak 10 kes membabitkan khidmat potong cincin dilaporkan dan diikuti dengan 22 kes (2015). Pada tahun 2016 pula, lapan kes manakala pada Mac 2017, sebanyak tiga dicatatkan.

c. Mobile Community Fire Fighting Set (MC FF Set)

Siapa sangka, inovasi unik itu membantu penduduk kampung mengeluarkan air yang bertakung di tanah perkuburan dengan hanya dijana dengan menggunakan motosikal.

Hujan lebat yang melanda Kampung Pulau Panjang, Kuala Besar Kelantan itu baru-baru ini menyebabkan urusan pengebumian tergendala, namun dengan MC FF Set, kerja mengepam air tidak ambil masa yang lama.

Inovasi alat pengepam air mudah alih itu ternyata mempunyai nilai tambah tersendiri apabila turut memenangi pertandingan inovasi peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun lalu.

Uniknya, teknologi yang merupakan sentuhan Kumpulan Matahari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Kelantan itu dalam proses kajian untuk penambahbaikan dan akan dibentangkan di Puspek bagi tujuan pengkomersilan.