Video intim: Perintah reman enam hari Haziq kekal, lima dikurangkan

Haziq Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah tahanan reman enam hari yang diputuskan Mahkamah Majistret terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung video intim yang tular baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah meminda perintah reman dikenakan terhadap lima lelaki ditahan bersama-sama Haziq Abdullah daripada enam hari kepada empat hari.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Majistret terkhilaf ketika memberi perintah reman terhadap kelima-lima lelaki itu.

“Lima suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan direman selama empat hari.

“Manakala seorang lagi suspek (Haziq Abdullah) yang disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kekal reman selama enam hari seperti sebelum ini,” katanya.

Menyentuh isu diari siasatan (ID) tidak dikemukakan semasa prosiding permohonan reman tempoh hari, hakim itu berkata ia bukan satu masalah kerana sudah dimasukkan dalam sistem talian.

Haziq Abdullah dan lima lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa dan direman enam hari bermula Isnin dan akan berakhir Sabtu ini.

Pada hari sama, selepas ditahan reman mereka memfailkan permohonan semakan terhadap perintah tersebut atas dakwaan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki telah terkhilaf apabila mengeluarkan perintah reman secara 'pukul rata' bagi kesemua suspek dan hari ini Mahkamah Tinggi mendengar permohonan itu.

Peguam S. Ramesh yang mewakili kesemua suspek berhujah bahawa permohonan reman terhadap kesemua suspek sepatutnya dibuat secara individu memandangkan mereka disiasat mengikut seksyen berasingan.

Sementara itu, peguam R. Sirahnanthan yang juga mewakili semua lelaki itu pula berkata antara lain diari siasatan juga tidak dikemukakan kepada mahkamah semasa prosiding permohonan tahanan reman di hadapan Majistret Namirah Hanum.

"Majistret tidak mengemukakan sembilan alasan yang sepatutnya dipertimbangkan sebaliknya hanya enam alasan yang diberikan antaranya kesan rakan jenayah, maklumat orang awam, gambar tempat kejadian, rakaman percakapan, kawad cam dan cap jari," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Abdul Razak berkata permohonan diari siasatan atau ID masih dalam peringkat siasatan dan masih terlalu awal untuk mengasingkan tuduhan secara individu.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi hukuman memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, manakala, Seksyen 292 Kanun Keseksaan pula menyebar bahan lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Video intim: Anwar terkejut setiausaha politik ditahan

Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih, kata Anwar


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia