Bekas pengarah YBNT didakwa 50 pertuduhan lagi tipu pakej umrah

Tertuduh, Mohd Adam ditemani salah seorang peguam belanya, Che Amir Che Musa (kanan) ketika di bawa keluar dari Kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas kesemua pertuduhan dibacakan.
Tertuduh, Mohd Adam ditemani salah seorang peguam belanya, Che Amir Che Musa (kanan) ketika di bawa keluar dari Kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas kesemua pertuduhan dibacakan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) berdepan 50 lagi pertuduhan menipu dalam urusan pakej umrah bagi sesi November/Disember, tiga tahun lalu di dua Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Adam Mohd Ghazali, 31, dari Besut, masih mengekalkan pengakuan tidak salahnya atas kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Di Mahkamah Sesyen 3, tertuduh berdepan 26 pertuduhan melibatkan 22 mangsa kononnya menaja mereka mengerjakan umrah di bawah Program Bantuan Umrah YBNT bagi sesi November/Disember 2016 sedangkan program dan yayasan tersebut tidak wujud.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM100,000 itu antara Jun hingga November 2016 di beberapa daerah di negeri ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mahkamah seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM209,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dua kali sebulan sepanjang perbicaraan bermula Ogos depan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh berdepan 24 pertuduhan menipu melibatkan 17 mangsa.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mahkamah menawarkan ikat jamin RM240,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos sebut semula.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Semalam, Sinar Harian melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas 26 pertuduhan menipu seramai lebih 20 mangsa membabitkan jumlah kerugian hampir RM200,00 di beberapa daerah di negeri ini.

Sebelum ini, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur, 11 pagi pada 11 Julai lalu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu selepas menghilangkan diri hampir dua tahun.

Tertuduh yang sebelum ini dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya menghilangkan diri dan sentiasa menukar tempat persembunyiannya setiap kali serbuan dilakukan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesahkan siasatan mereka mendapati YBNT mempromosikan pakej yang ditawarkan secara atas talian menerusi Facebook dengan bayaran rendah daripada pasaran iaitu RM4,999.

KPDNHEP Terengganu mengenal pasti bahawa dalam tempoh Jun hingga Oktober tahun lalu, YBNT mencatatkan kemasukan wang berjumlah RM14.2 juta.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 jemaah terdiri daripada guru dan keluarga mereka selepas membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Tertuduh sebelum ini menyalahgunakan surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan menawarkan pakej umrah secara subsidi kepada guru.