SADA naik taraf LRA Pelubang atasi masalah bekalan air

Syarikat Air Darul Aman (SADA)
Syarikat Air Darul Aman (SADA)
A
A
A

PENDANG - Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan menaik taraf projek Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang bagi memastikan masalah gangguan bekalan air di Kampung 15 Relung dan sekitarnya dapat diatasi.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata, projek berkenaan merupakan perancangan jangka masa panjang.

"Bekalan air ke kawasan Kampung 15 Relong di sini dibekalkan menerusi Tangki Bukit Tinggi melalui Loji Rawatan Air Pelubang.

"Kawasan tersebut berada di penghujung sistem bekalan dan sering terganggu pada waktu puncak menyebabkan bekalan bagi menampung keperluan pengguna tidak mencukupi," katanya.

Menurutnya, bekalan air di kawasan tersebut akan mengalami gangguan pada waktu tertentu dan tidak terputus bagi tempoh yang panjang.

"Pihak SADA telah melakukan pemeriksaan dari masa ke semasa serta melakukan siasatan selepas menerima aduan daripada pengguna bagi mengatasi masalah tersebut.

"Insya-ALLAH untuk langkah jangka pendek, pihak SADA akan melakukan proses agihan semula bagi menstabilkan kembali tekanan di kawasan tersebut.

"Selain itu, langkah menggerakkan lori tangki untuk membekalkan air di kawasan tersebut akan dilakukan bagi mengurangkan masalah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan masalah gangguan bekalan air yang membelenggu penduduk Kampung 15 Relung sejak beberapa bulan lalu.