Angkasa jalin kerjasama badan koperasi Thailand lahirkan pakar tom yam

YBhg. Dato 'Abdul Fattah Abdullah, Presiden ANGKASA ditemubual oleh pengalam media dalam lawatan tinjauan perniagaan C2C League Of Thailand ke ANGKASA di Kelana Jaya,Selangor. Foto:ZAHID IZZANI
YBhg. Dato 'Abdul Fattah Abdullah, Presiden ANGKASA ditemubual oleh pengalam media dalam lawatan tinjauan perniagaan C2C League Of Thailand ke ANGKASA di Kelana Jaya,Selangor. Foto:ZAHID IZZANI
A
A
A

PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) berhasrat untuk melahirkan lebih ramai tukang masak yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan Thailand atau Tom Yam sebagai langkah memenuhi keperluan itu di negara ini pada masa akan datang.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha berkenaan bakal dilaksanakan menerusi kerjasama bersama badan-badan koperasi dari negara jiran itu sendiri.

Menurutnya, ahli-ahli koperasi di negara ini perlu mengikuti kursus khas dalam bidang masakan itu melalui mana-mana kolej mahupun universiti di Thailand.

"Saya difahamkan kita mempunyai lebih 4,000 kedai tom yam yang beroperasi kebanyakan tukang masak adalah dari Thailand. Tahun lepas ada isu yang Malaysia tidak lagi menggalakkan tukang masak dari Thailand, jadi kita cadangkan koperasi-koperasi di Thailand untuk latih ahli-ahli koperasi Malaysia supaya jadi tukang masak yang mahir buat tom yam.

"Jadi bermula tahun depan, kita akan hantar ahli-ahli koperasi kita untuk jalani kursus bersama universiti khas di Thailand. Langkah ini sebenarnya sebagai langkah awal apabila berlakunya kekosongan di mana-mana restoran nanti," katanya pada sidang media sempena lawatan daripada Cooperative League of Thailand (CLT) di Auditorium Angkasa di sini hari ini.

Lawatan kerja yang disertai oleh 50 ahli yang mewakili 40 buah koperasi di Thailand itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar idea bagi memperkasa pembangunan koperasi mereka.

Dalam masa sama, Fattah berkata, beliau melihat potensi kerjasama bersama koperasi Thailand yang mampu memberi manfaat kepada koperasi-koperasi di negara ini menerusi aspek import dan eksport produk makanan.

"Kita tahu produk Thailand seperti sayur, buah dan makanan lain majoritinya kita import. Tetapi dalam isu ini koperasi tidak terlibat dan kita cuba libatkan koperasi Malaysia untuk tujuan itu. Begitu juga dengan eksport barang-barang yang ada di Malaysia ke Thailand," katanya.

Artikel Berkaitan: