119 PBT capai penarafan empat bintang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 119 daripada 151 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mencapai penarafan empat bintang dan ke atas menerusi penilaian Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) yang dijalankan di seluruh negara tahun lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, daripada 331 indikator sedia ada yang diguna pakai dalam SPB-PBT, 50 indikator penilaian adalah selari dengan 17 matlamat yang digaris dalam "Sustainable Development Goal" (SDG) 2030.

"Pencapaian PBT seluruh negara melalui indikator penilaian SPB-PBT yang selari dengan SDG antaranya adalah membasmi kemiskinan dalam apa jua bentuk di semua tempat, memastikan akses kepada air, sanitasi untuk semua dan memastikan bandar serta penempatan manusia yang selamat dan daya tahan lestari,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) yang ingin tahu apakah usaha penambahbaikan kementerian untuk memastikan PBT di seluruh negara mencapai piawaian perkhidmatan antarabangsa.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, kementerian itu melalui Jabatan Kerajaan Tempatan juga telah membentuk beberapa Garis Panduan (GP) untuk diguna pakai PBT antaranya GP penggredan premis makanan, GP pengurusan pasar dan GP pusat penyembelihan ayam bagi memastikan kawasan seliaan PBT bebas daripada penyakit dan pencemaran.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, sehingga Jun tahun ini, 7,162 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dimiliki dan telah dijual kepada pemohon yang layak sementara baki 715 unit rumah lagi masih dalam peringkat pengisian dan proses permohonan pinjaman perumahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: