Imej baharu cendol sebagai pencuci mulut ikonik warisan Malaysia

A
A
A
CENDOL merupakan pencuci mulut ikonik yang diisytiharkan sebagai makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia.

Cendol dihasilkan menggunakan kaedah konvensional iaitu dengan menekan adunan atas pengayak untuk membentuk adunan.

Bagaimanapun terdapat kekangan ke atas kaedah pemprosesan ini kerana tempoh pemprosesan memakan masa yang lama selain memerlukan kekuatan tangan untuk menekan doh. Bahkan, cendol yang dihasilkan juga mempunyai jangka hayat yang pendek kerana kandungan lembapan yang tinggi iaitu lebih 90 peratus.

Namun inovasi cendol segera hasil kajian penyelidik dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cawangan Kuching dapat mengatasi semua masalah berbangkit tersebut.

Projek kerjasama MARDI dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu diketuai pegawai penyelidik, Dr Chua Hun Pin telah berjaya menghasilkan cendol kering yang didirikan berdasarkan kepada teknik gelatinisasi cepat yang diubah suai berasaskan kaedah asal.

Ambil masa enam bulan

Dr Chua berkata, proses membangunkan produk itu mengambil masa selama enam bulan oleh MARDI Sarawak.

“Hasil daripada penyelidikan berkenaan, MARDI telah berjaya memendekkan tempoh masa menghasilkan cendol dalam tempoh 15 minit. Kami mengubahsuai resipi asal dan teknik menghasilkan cendol mengikut langkah-langkah tertentu.

"Menerusi penyelidikan ini, ia dapat menghasilkan ketahanan cendol dalam bentuk kering untuk tempoh yang lama iaitu 12 bulan.
Artikel Berkaitan:


“Dalam masa sama, turut berjaya menghasilkan satu produk lain iaitu keropok cendol,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2019, bertempat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Teknologi penggelatinan

Cendol kering dibangunkan berdasarkan teknik gelatinisasi cepat yang mana ia dibungkus bersama pek sirap gula apong atau nipah dan serbuk santan.

Dr Chua berkata, pengaplikasian kaedah penggelatinan cepat dalam pemprosesan berjaya menyingkatkan masa pemprosesan cendol dengan ketara.

“Penghasilan cendol kering mengandungi tahap lembapan yang rendah iaitu kurang 10 peratus sekali gus meningkatkan kestabilan jangka hayat cendol.

“Tambahan pula cendol kering ini lebih mudah untuk dikendalikan dari segi penyimpanan iaitu pada suhu bilik dan tidak memerlukan penyimpanan pada suhu sejuk.

“Selain itu, ia amat sesuai bukan sahaja untuk pembelian runcit bahkan pembungkusan secara pukal. Ini secara langsung memvariasikan penggunaan cendol sekali gus meningkatkan peluang pemasaran cendol ke peringkat global,” katanya.

Kelebihan teknologi

Tambah Dr Chua, inovasi itu dibangunkan menerusi teknologi pemprosesan ternyata mempunyai banyak kelebihan.

“Penghasilannya amat mudah dengan melibatkan kos rendah yang mana hanya menggunakan ketuhar angin panas. Di samping itu, teknologi ini juga dapat membantu usahawan cendol mengurangkan tenaga kerja, jimat masa dan meminimumkan pembaziran. Selain itu, turut membolehkan penyimpanan dalam kuantiti yang banyak sekali gus membuka peluang pasaran yang lebih besar,” katanya.

Tambahnya, cendol segera itu dihasilkan untuk menampilkan imej baharu pencuci mulut ikonik warisan Malaysia dan menjadikannya lebih berpotensi dari sudut ekonomi.

“Kaedah pemprosesan cendol yang diperkenalkan melibatkan penggunaan alat dan mesin yang minimum, meningkatkan produktiviti pemprosesan, mengurangkan kadar sisa pengeluaran dan kos yang efektif,” katanya.

Kelebihan lain yang turut diperoleh ialah cendol kering boleh digoreng dalam minyak yang panas untuk menghasilkan snek cendol.

“Cendol segera juga sesuai dinikmati oleh semua golongan kerana bahan-bahan yang digunakan adalah bebas gluten dan tiada bahan pengawet kimia tambahan.