China digesa benarkan ibu keturunan Uighur, anaknya kembali ke Australia

Sadam Abdusalam memegang gambar isterinya, Nadila Wumaier dan anak lelaki mereka Lutifeier. - Foto AFP
Sadam Abdusalam memegang gambar isterinya, Nadila Wumaier dan anak lelaki mereka Lutifeier. - Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Kerajaan Australia hari ini menggesa China membenarkan seorang kanak-kanak lelaki warga Australia dan ibunya yang berketurunan Uighur untuk meninggalkan negara itu.

Canberra pada awalnya menafikan kewarganegaraan terhadap Lutifeier, bayi yang dilahirkan di Xinjiang pada Ogos 2017 kepada pasangan Sadam Abdusalam, seorang warga Australia dan Nadila Wumaier berketurunan etnik Uighur.

Namun, susulan keputusan mahkamah pada tahun lalu, bayi berkenaan mendapat kerakyatan Australia.

Selama berbulan-bulan, Abdusalam berkempen agar isteri dan anak lelaki yang belum pernah ditemuinya dapat datang ke Australia.

Menteri Luar, Marise Payne berkata, kedutaan (Australia) di Beijing telah membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa China untuk membenarkan Wumaier dan anak lelakinya datang ke Australia.

Menurut Payne, disebabkan isteri Abdusalam bukan warganegara Australia, pihaknya tidak berhak mendapat akses konsular.

Bercakap kepada AFP, Abdusalam berkata, isterinya ditahan untuk soal siasat oleh pihak berkuasa China namun kemudian dibebaskan.

"Saya akan terus memberi tekanan kepada kerajaan China dan Australia.

Artikel Berkaitan:

"Pada 31 Ogos depan anak saya akan berusia dua tahun," kata Abdusalam yang berhasrat bertemu keluarganya sebelum tarikh berkenaan.

Sementara itu, peguam Australia yang mewakili keluarga Abdusalam menggesa Canberra mempercepatkan visa untuk Wumaier.

Australia antara 22 negara termasuk Britain, Kanada dan Jepun yang menandatangani surat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengecam layanan buruk China terhadap lebih sejuta etnik minoriti Uighur dan beberapa minoriti Muslim lain yang ditahan di wilayah Xinjiang. - AFP